Peluang saksikan matahari melalui penapis alfa hidrogen

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Sebagai sebahagian daripada aktiviti untuk memeriahkan Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-8 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Program Cerapan Matahari telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

Program yang dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu dikendalikan bersama Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dengan meletakkan dua buah teleskop khas dan penapis suria serta penapis alfa hidrogen untuk memerhatikan matahari dan bulan dengan selamat.

Sementara itu, Setiausaha Agung PABD, Awang Hazarry Ali Ahmad menjelaskan, acara ini memberi peluang kepada orang ramai melihat matahari dan bulan di samping memperkenalkan penapis alfa hidrogen buat kali pertama di negara ini.

Beliau seterusnya berhasrat untuk menyediakan program jangkauan kepada orang ramai ke arah meningkatkan pengetahuan mengenai astronomi termasuk astronomi Islam.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat matahari menggunakan teleskop yang dilengkapi dengan penapis alfa hidrogen.