LIVERPOOL, 17 Sept – Mohamed Salah mempamerkan prestasi cemerlangnya berbanding Neymar dan Kylian Mbappe pada peringkat kumpulan Liga Juara-juara musim lalu tatkala dua bintang Paris Saint-Germain itu akan berkunjung ke Anfield esok, manakala pemain Mesir itu bergelut untuk menandingi kemuncak penampilan sulungnya di Liverpool.
Salah telah gagal untuk berada di tahap prestasi terbaiknya sejak kemunculan terakhirnya di Liga Juara-juara, empat bulan lalu. Namun, pada Mei lalu, Salah berada di puncak kegemilangannya apabila mengutip 44 gol dalam kempen yang membawa Liverpool mara ke final Liga Juara dan memastikan mereka layak menyertai kempen kali ini.
Salah hanya mampu bertahan selama 30 minit d Kiev sebelum mengalami kecederaan di bahu selepas dirempuh oleh kapten Real Madrid, Sergio Ramos, membawa kelab gergasi Sepanyol itu menjulang trofi dengan kemenangan 3-1.
Peristiwa malang itu menyukarkan Salah dalam tempoh beberapa bulan apabila kecergasannya tidak berada di tahap 100 peratus untuk pertama kali mewakili Mesir menyertai Piala Dunia sejak 28 tahun yang lalu.
Tanpa kehadiran tonggak utama itu, Pharaoh dikalahkan dengan mudah oleh Uruguay dalam kempen pembukaan dan jaringannya ketika menentang Rusia dan Arab Saudi tidak mampu menghalang Mesir untuk pulang lebih awal.
Salah turut berdepan krisis bersama persekutuan bola sepak Mesir berhubung salah guna imejnya dan keputusan untuk menganjur kem latihan mereka di Chechnya. – AFP