Peluang sertai Ekspo Halal Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri sedang mencari pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana mikro (MSME) tempatan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) yang akan berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang, Malaysia mulai 24 hingga 26 Februari depan.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan di sini, PIHEC akan menyediakan platform sesuai bagi MSME tempatan Brunei dan membukakan peluang untuk mereka bertemu dengan pihak-pihak yang terlibat dalam pameran dan pelanggan perdagangan dari seluruh Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah untuk mempromosi dan memasarkan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, MSME tempatan dengan produk dan perkhidmatan serta barangan halal termasuklah makanan dan minuman, produk farmaseutikal dan nutraseutikal adalah dijemput untuk menyertai ekspo tersebut. Pelawaan turut dibuka untuk premis yang diperakui halal, termasuklah rumah sembelih, hotel dan restoran, francais makanan dan seumpamanya dan juga produk halal bukan makanan, seperti kosmetik dan pakaian Islam, teknologi maklumat, pendidikan Islam dan penerbitan dan mana-mana perindustrian berkaitan Islam, perbankan Islam, institusi-institusi kewangan serta agensi-agensi takaful juga dijemput. Agensi-agensi pelancongan, NGO Islam dan mana-mana institusi dan pertubuhan berkaitan Islam juga dijemput menyertainya.Menurut kenyataan itu lagi, tajaan-tajaan akan diberikan kepada para pemohon yang berjaya bagi satu wakil setiap syarikat dalam bentuk penempatan hotel, bayaran sewa petak, penghantaran produk barang pameran dan pengangkutan tempatan.

“Ini adalah sebahagian kerjasama antara Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (EIDPMO), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (MoFAT) dan Darussalam Enterprise (DARE) untuk memberikan peluang bagi MSME tempatan bagi usaha niaga ke dalam pasaran antarabangsa.”

Para pemohon yang berminat boleh memuat turun borang permohonan di www.ei.gov.bn/pihec atau mengambil borang di Bangunan Teknologi dan Rekaan, Pusat Sokongan Perniagaan, Simpang 32-37, Kg. Anggerik Desa. Para pemohon boleh menghantar borang melalui e-mel ke [email protected] atau menghantar terus ke Pusat Sokongan Perniagaan sebelum 16 Januari 2017 pada pukul 12:30 tengah hari.Bagi sebarang pertanyaan sila hubungi Sekretariat ETF di talian 2384488 sambungan 1050.