Peluang sertai seminar tinju

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Dalam usaha untuk memberikan pengetahuan kepada peminat sukan tinju mengenai asas kompetitif dan kecergasan, satu seminar mengenainya akan diadakan minggu hadapan.

Seminar tersebut akan dikendalikan oleh atlet tinju Negara Brunei Darussalam, Muhammad ‘Irfan bin Haji Abdul Razak dengan kerjasama pelatih ikonik Jeff Mayweather yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sebagai tetamu khas yang akan memberikan perkongsian melalui aplikasi Zoom pada 25 September.

Muhammad ‘Irfan juga akan mengadakan klinik tinju untuk peserta berusia lapan tahun ke atas pada 26 hingga 27 September.

Seminar antara lain bertujuan bagi membantu para belia Brunei untuk menanamkan minat dalam sukan tinju sebagai sukan dan gaya hidup mereka.

Selain itu, seminar berkenaan juga merangkumi beberapa aspek penting dalam sukan tinju seperti teknik, asas, biomekanik, mentaliti gaya hidup, kecergasan dan penurunan berat badan.

Muhammad ‘Irfan, yang dijuluki sebagai ‘​​Brawler of Brunei’ mendapat perhatian ramai selepas menandatangani perjanjian dengan Jeff Mayweather untuk mencari peluang membuat debut profesional.

Atlet tinju Negara Brunei Darussalam, Muhammad ‘Irfan. – Gambar oleh Rahwani Zahari