Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Seri Begawan Archery (SBA) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan melalui Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB) akan mengadakan Riadah Memanah Pusat Beliaku Ceria pada 23 September di Pusat Belia BSB.
Dalam kenyataan yang diterima, hari ini, acara yang bermula dari pagi hingga petang itu adalah bagi membuka peluang kepada orang awam untuk menyertai sukan memanah melalui beberapa kategori peraduan yang disediakan oleh pihak penganjur.
Antara lain objektif aktiviti ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat Brunei khususnya tentang kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan di Pusat Belia BSB dan sekali gus untuk menarik minat orang awam berkecimpung dalam bidang sukan yang dimaksudkan.
Di samping itu, aktiviti tersebut dapat membuka peluang kepada para pengunjung untuk mempelajari serta mendalami pengetahuan mereka berkenaan acara sukan memanah.
Ini juga adalah sebagai langkah awal pihak penganjur dalam usaha untuk melahirkan atlet sukan memanah yang memenuhi standard dan seterusnya mampu menjadi calon mewakili Brunei pada acara pertandingan seumpamanya sama ada di peringkat serantau dan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Aktiviti riadah ini diharapkan akan dapat menarik minat masyarakat agar berkunjung bersama keluarga ke Pusat Belia BSB, kerana ia juga adalah sebagai sebahagian daripada pengisian sampingan Program Bandarku Ceria yang diadakan setiap hujung minggu di ibu negara.