Peluang sesama keluarga tingkat amalan

Oleh Nurdiyanah R.

Hadirnya bulan keagungan, bulan di mana Allah SWT melimpahkan rahmat dengan pelbagai fadilat kepada umatNya yang khusyuk dan tawaduk serta yang benar-benar ingin meraih pahala berlipat ganda demi mengejar hari kemenangan di dunia dan juga akhirat.

Itulah Ramadan, bulan suci yang terkandung di dalamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar.

‘Syukur Alhamdulillah’, itulah kalimat yang pantas diungkapkan bagi kita yang masih dianugerahkan pelbagai nikmat seperti rezeki dan kesihatan yang baik. Dengannya kita telah pun diberi peluang keemasan untuk dipertemukan lagi dengan bulan yang mulia dan penuh keampunan ini di mana umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan, dan sekali gus meningkatkan amal ibadah kepada Yang Maha Pencipta sekalian alam.

Sebagai salah satu kewajipan yang terkandung dalam Rukun Islam yang lima. Kita mestilah menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sadik hingga masuk matahari dengan niat dan syarat-syarat tertentu, kewajipan ini jelas terbukti di dalam kitab suci Al-Quran melalui Surah Al-Baqarah, sebagaimana tafsirnya dalam ayat 183.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”

Gambar fail sembahyang berjemaah sesama keluarga pada Ramadan lalu. Tahun ini dengan masjid-masjid ditutup, sembahyang berjemaah dan bertarawih akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan mengikuti saranan penjarakan sosial dan tidak berkumpul melebihi 30 orang serta menjaga kebersihan.
Gambar fail menunjukkan mereka yang kurang bernasib baik tidak dilupakan di bulan yang mulia ini. Pelbagai pihak sudi tampil ke hadapan menyumbangkan sedekah dan bantuan.
Gambar fail amalan menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan membaca Al-Quran di rumah-rumah persendirian.

Namun tibanya Ramadan kali ini, umat Islam turut diuji dengan pandemik koronavirus tetapi ia sepatutnya tidak melemahkan semangat umat Islam untuk meraih rahmat dan keberkatan, menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat-sifat yang keji yang bukan sahaja memberikan impikasi negatif kepada diri, bahkan juga keluarga dan masyarakat. Oleh itu tersangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang itu, bahkan membiarkan peluang itu pergi begitu sahaja.

Berjuang Memperkasa Amal Ibadah

Ibadah puasa pada bulan Ramadan bukan hanya melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga, namun ia juga mendidik diri untuk meningkatkan dan memperkasakan segala amal kebajikan kita dari semasa ke semasa.

Ini kerana bulan yang memiliki lambakan pahala dan kasih sayang Allah SWT ini pastinya amat dirindui oleh orang-orang mukmin kerana hadirnya membawa seribu satu rahsia kelebihan dan kebaikan. Sebagaimana maksud daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Baihaqi, “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun.”

Antara amal ibadah yang perlu kita lakukan di bulan yang penuh kemuliaan ini ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mengerjakan sembahyang fardu berjemaah dan tarawih di rumahbersama keluarga, qiamullail dan sembahyang sunat, membaca tahlil serta memperbanyakkan amalan bersedekah kepada yang memerlukan.

Selain itu, kita juga perlu menerapkan adab-adab dalam diri sepanjang menjalani ibadah puasa seperti menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa seperti menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.

Kesemua ini pastinya mampu mendidik diri kita untuk menjadi seseorang umat yang memahami erti kesabaran dan keinsafan serta ketakwaan demi untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.

Mengukuhkan Institusi Kekeluargaan

Di sebalik perlaksanaan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan, ia setentunya juga mampu mewujudkan hikmah yang begitu besar dalam institusi kekeluargaan yang mana kita dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang dan silaturahim antara satu sama yang lain, di samping saling memperingati ahli keluarga kita agar memanfaatkan kelebihan pada bulan yang penuh ganjaran ini.

Antara aktiviti kekeluargaan yang lazim dilaksanakan di bulan puasa iaitu ketika berbuka dan bersahur. Amalan ini secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui makan bersama.

Selepas berbuka, ahli keluarga pula bersama-sama mengerjakan sembahyang fardu dan Sembahyang Sunat Tarawih bagi merapatkan keluarga dengan rumah Allah dan juga diselajurkan dengan bertadarus Al-Quran bersama-sama.

Dengan adanya semangat dalam mengerjakan amal ibadat bersama ini, ia sudah setentunya dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang sekian lama terjalin. Inilah budaya Islam yang seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Indahnya Berbagi Rezeki Berbuka Puasa

Dalam meniti kemeriahan bulan yang menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada hamba-hambaNya, masyarakat di negara ini juga sentiasa meneruskan misi dalam memberi manfaat dalam kehidupan seperti berkongsi rezeki melalui amalan bersedekah kepada insan-insan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal, dan anak-anak istimewa.

Hal ini terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al Hadid, ayat 18 sebagaimana tafsirnya “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”

Penglibatan umat Islam di negara ini meliputi pihak kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) jelas membuktikan ketaatan mereka kepada Allah SWT untuk membelanjakan harta pada jalanNya bukan hanya berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan bahkan juga masa dan tenaga. Antara yang menjadi kelaziman dilaksanakan ialah program sumbangan wang ringgit dan juga barangan asasi, projek membaik pulih rumah orang-orang yang kurang berkemampuan dan sebagainya.

Bulan rahmat, bulan pengampunan dan bulan pembebasan dari api neraka datang lagi. Syukur tidak terhingga kita kepada Allah SWT kerana masih menemukan kita dengan bulan yang ditunggu dan dirindui, bulan Ramadan.

Adalah lebih baik kita memulakan bulan Ramadan dengan memohon maaf kepada ibu bapa, ahli keluarga, suami, isteri, saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan serta seluruh umat manusia. Oleh itu, bersama-samalah kita berazam untuk menjalani ibadah puasa yang tinggi kualitinya dan memperbanyakkan lagi kuantiti amalan-amalan demi untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.