Peluang solat berjemaah bersama keluarga

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Sudah masuk minggu ketiga solat Fardu Jumaat ditiadakan di masjid-masjid seluruh negara berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini.

Penutupan berkenaan memang amat dirasakan oleh ramai penduduk beragama Islam, apatah lagi menjelang bulan Ramadan yang semakin menghampiri dalam beberapa minggu sahaja lagi.

Namun begitu, akidah dan ketaatan dalam beragama bagi umat Islam di negara ini tidak akan mudah terjejas atau berkurangan, ujar beberapa orang jemaah masjid yang ditemui.

Haji Sohaili dan Pengiran Hajah Hadiah binti Pengiran Haji Besar berkata, seluruh rakyat dan penduduk khususnya yang beragama Islam telah banyak memperbetulkan diri melalui penerapan-penerapan ilmu, sesi ceramah serta pemberigaan keagamaan dam kemasyarakatan melalui media-media massa dan berita.

Sebagai contoh, kebanyakan para ibu bapa telah mula mempunyai masa untuk solat fardu berjemaah, berwirid dan berdoa bersama anak-anak dan ahli keluarga yang lainnya.

Pemandangan Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop dari udara. – Gambar oleh Muiz Matdani

Banyak perkongsian ilmu dan info keagamaan seperti hadis dan tafsiran Al-Quran serta kisah-kisah teladan keagamaan yang tular melalui media massa khususnya ruangan WhatsApp dan Facebook, ujar mereka.

Mengenai solat fardu Jumaat pula, Haji Sohaili berkata, walaupun ditiadakan atas penelitian rapi pihak-pihak berkenaan terutamanya daripada Yang Berhormat Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam demi keselamatan orang ramai, pihak Jabatan Mufti Kerajaan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama khususnya tidak membiarkan perkara berkenaan begitu sahaja tanpa sebarang usaha dan inisiatif ke arah pemberigaan dan penyebaran serta penyerapan ilmu-ilmu keagamaan seperti ceramah dan tazkirah melalui radio dan televisyen tempatan.

Beberapa pendekatan khas seperti membaca zikir, Ratib Al-Attas, membaca Surah Yasin dan doa-doa khusus di peringkat nasional juga diterjemahkan waima dalam perintah penjarakkan sosial dan komuniti.

“Inilah natijah yang baik dan berpanjangan dapat diterapkan hasil prinsip para Ulil Amri kita selama berabad lamanya dan atas dasar falsafah negara Melayu Islam Beraja yang mempraktikkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan sebagai sebuah Negara Zikir,” tambahnya.

Bagi Pengiran Hajah Hadijah pula, ini adalah masa yang sangat sesuai untuk menunaikan solat secara berjemaah, mengisi masa lapang dengan mengaji, dan mengeratkan hubungan
silaturahim bersama ahli keluarga.

“Alhamdulillah, penularan wabak Covid-19 memang ada hikmah di sebaliknya. Allah telah membuka mata semua, kita telah lalai dengan apa yang diperintahkanNya.

“Patuhlah arahan dikeluarkan dan gantikan solat Fardu Jumaat dengan solat Fardu Zuhur di kediaman masing-masing kerana apa yang diputuskan satu hal yang baik untuk kita semua,” ujar beliau.

Beliau menasihatkan, “Ambillah peluang ini supaya kita dapat solat berjemaah bersama keluarga di rumah.”

Seorang lagi jemaah masjid yang ditemui, Awang Fariddudin bin Haji Puasa berkata, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini tiada beza dengan apa yang dilakukan dengan negara-negara Islam yang lain.

“Insya-Allah dengan cara ini, kita yakin dan percaya, kita akan mendapat banyak kebaikan, khususnya bagi menyelesaikan masalah COVID-19,” katanya.