Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Cef selebriti terkenal, Martin Yan kini berada di negara ini bagi mengadakan Sesi Meet & Greet dan Kulinari Eksklusif bersama Restoran Dynasty.
Semasa ditemu bual, Cef Martin Yan berkongsi kegembiraannya berada di negara ini buat kali pertama yang mana menurutnya, projek ini sangat istimewa kerana beliau memang sudah lama ingin ke Negara Brunei Darussalam, jadi ini peluang besar beliau untuk berkunjung ke negara ini dan berkongsi pengalaman di sini.
“Saya sudah mencuba pelbagai cita rasa masakan seperti Malaysia, Vietnam, Korea dan akan mula mempelajari Kemboja. Saya juga ingin melakukan ‘Cita Rasa Brunei’, itu adalah hasrat saya untuk mempromosikan Pulau Borneo termasuk Brunei Darussalam. Ini adalah sebuah negara yang banyak sejarah dan warisan,” tambah Cef Martin Yan.
Beliau yang berasal dari Guangdong, China memberitahu media, untuk membawa orang ke negara ini, kita perlu tahu tentang tempat itu.
“Ramai orang mendengar tentang Brunei Darussalam tetapi mereka tidak pergi ke sini. Jadi dengan ini kita dapat memperkenalkan Brunei melalui makanan.

“Biasanya, apabila saya berkunjung ke negara luar, saya mulakan dengan landskap dan sejarah, kemudian saya berpindah ke tempat yang indah dan meneroka masakan dan makanan tempatan seperti ambuyat yang akan saya cuba esok sambil mempelajarinya,” tambahnya.
Dianjurkan oleh Royal Brunei Catering (RBC), Sesi Meet & Greet bersama Cef Martin Yan itu akan diadakan pada hujung minggu ini.
Sementara itu, makan bersama beliau turut diadakan pada hujung minggu ini di Hotel The Centrepoint, Gadong di mana beliau juga akan mendemonstrasi beberapa masakan ala ‘Cantonese’ yang berkaitan dengan hidangan Restoran Dynasty yang terkenal dengan masakan Cina yang halal, cara penyediaan dan beberapa tips masakan.
Para pemegang kad Baiduri Visa Infinite, Baiduri Prestige Visa Infinite, kad Debit Mastercard World akan menerima 15 peratus diskaun bagi tiket manakala itu, diskaun 12 peratus diberikan kepada kesemua pemegang kad kredit dan debit Baiduri lainnya. Pemegang kad Privilege RBC juga akan menerima potongan harga 10 peratus.
Pelanggan yang membeli tiket juga berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi balik ke Hong Kong dan pas masuk ke Hong Kong Disneyland untuk dua orang termasuk tempat penginapan bagi pemenang pertama.
Pemenang kedua akan menerima penerbangan pergi balik untuk dua orang ke Taipei termasuk tempat penginapan dan tempat ketiga akan menerima penerbangan pergi balik ke Shanghai untuk seorang.