Peluang Ter Stegan rampas tempat Neuer

BERLIN, 13 OGOS – Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegan mempunyai peluang untuk merampas kedudukan sebagai penjaga gol utama skuad kebangsaan Jerman apabila dia berdepan penjaga gol veteran Bayern Munich, Manuel Neuer esok dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

Neuer, 34, telah menjadi ketua pasukan Jerman sejak Bastian Schweinsteiger bersara pada 2016.

Walau bagaimanapun, Ter Stegan berusaha untuk merebut tempat selaku pilihan utama penjaga gol Jerman, tetapi tidak banyak yang dapat memisahkan kedua-dua pemain tersebut.

“Dalam beberapa bidang yang menunjukkan watak penjaga gol moden, saya menganggap kedua-duanya sama,” kata Bodo Illgner, bekas penjaga gol Jerman semasa Lothar Matthaeus menjulang trofi Piala Dunia di Itali pada 1990.

Illgner, 53, berkata bahawa kedua-dua pemain adalah sama dalam ‘permainan mereka di atas garisan, satu-lawan-satu, karisma, malah dalam sepakan penalti’.

Illgner percaya Neuer memiliki lebih banyak ciri kepimpinan ‘bertindak sebagai pemimpin di dalam kawasan kotak penalti’.

Selepas beberapa tahun menjadi pemain pilihan kedua untuk Jerman, pemain berusia 28 tahun, Ter Stegan, yang membuat 24 penampilan antarabangsa, akhirnya hilang sabar pada September lalu.

Dia telah mencetuskan kekecohan dengan mengatakan bahawa dia tidak memahami mengapa Neuer, penjaga gol Jerman sejak 2010, kekal menjadi pilihan utama ketua jurulatih Joachim Loew.

Bekas presiden Bayern, Uli Hoeness telah campur tangan dalam hal ini dengan mengatakan Ter Stegan ‘tidak mempunyai hak’ untuk mengambil posisi itu.

Neuer, yang diundi sebagai penjaga gol terbaik dunia sebanyak empat kali berturut-turut sehingga tahun 2016, kini berada di penghujung kariernya.

Kini Ter Stegan mempunyai peluang untuk menunjukkan siapa penjaga gol yang lebih baik dalam pertemuan di Liga Juara-Juara. – AFP