Peluang terbaik pemain muda menonjol

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Ketiadaan beberapa ‘nama besar’ dalam senarai skuad hoki negara bagi persiapan menghadapi Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah 2020 akan membuka peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan, kata penyerang veteran hoki negara Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Beliau berkata ketiadaan lima pemain berpengalaman termasuk pasangan adik-beradik Faizal dan Fitri Saari selain Mohamad Sukri Abdul Mutalib kerana tidak disenaraikan ketua jurulatih Roelant Oltmans akan membuka laluan untuk pemain baharu lebih menonjol.

Meskipun mengakui peranan yang dimainkan pemain berpengalaman dalam skuad kebangsaan, tonggak jentera serangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu tidak menolak kemungkinan keputusan diambil Oltmans itu akan menyaksikan skuad kebangsaan lebih berkembang di masa hadapan.

“Ini peluang terbaik untuk pemain muda lebih menonjol kerana selama ini kita hanya ada lima pemain itu sahaja tanpa ada penambahan daripada pemain muda yang turut mampu memberi impak sama dengan pemain-pemain yang ada pada masa ini.

“Dan (jika kekalkan pemain sama) pasukan akan macam tidak berkembang, hanya berada di tahap itu sahaja. Ini mungkin cara terbaik yang diambil untuk kembangkan kebolehan pemain-pemain lain terutama pemain muda di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Selasa lepas, Oltmans menyenaraikan 11 muka baharu bagi melengkapkan senarai 34 pemain yang dipanggil mengikuti kem latihan pusat bermula hari ini. – Bernama