BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Awangku Muhammad Aizat bin Pengiran Yasmin telah diumumkan sebagai penerima anugerah bagi Program Pelajar Asing Fulbright 2018 oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam.
Awangku Muhammad Aizat akan memulakan program pengajian selama dua tahun di Universiti Southern Illinois pada bulan Ogos ini.
Charge d’Affaires Kedutaan AS, Scott E. Woodard, baru-baru ini telah menemui Awangku Muhammad Aizat bagi mengucapkan tahniah kepadanya.
“Program Fulbright merupakan program pertukaran pendidikan kami yang paling berprestij, memberikan peluang kepada rakyat Brunei untuk merealisasikan aspirasi akademik mereka di beberapa buah tempat pengajian terbaik AS.
“Awangku Muhammad Aizat merupakan penambahan terbaik dalam kumpulan Fulbright Brunei, terdiri daripada gabungan profesional, yang sudah memberikan banyak sumbangan pada pembangunan Brunei,” ujar Scott E. Woodard.

Sementara itu, Awang Aizat menyatakan rasa gembiranya kerana program itu merupakan peluang sekali dalam seumur hidup.
“Saya harap untuk meraih sebanyak manfaat yang boleh di Universiti Southern Illinois, pengalaman hidup di Amerika Tengah dan paling penting adalah ia merupakan satu laluan terbaik buat saya untuk melangkah dengan yakin untuk mengejar sesuatu yang penuh makna,” tambahnya.
Program Fulbright merupakan program pertukaran pendidikan antarabangsa yang ditaja oleh kerajaan AS dan beberapa pihak dari negara lain.
Ia sudah ditubuhkan pada tahun 1946 di bawah perlembagaan yang diperkenalkan oleh Senator J William Fulbright dari Arkansas dan ditadbir oleh Jabatan Negeri dan Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE).