Peluang teroka bidang baharu

MANILA, 6 Mac – Lawatan tiga hari Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Manila yang bermula hari ini membuka ruang kepada usahawan Malaysia meneroka bidang pelaburan baharu di negara itu, kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina, Rizany Irwan Muhamad Mazlan.

Beliau berkata antara bidang pelaburan baharu yang berpotensi diterokai usahawan Malaysia di Filipina adalah industri halal.

“Di sinilah, Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai industri halal yang sangat maju, patut mengambil peluang untuk merekayasakan industri halal di Filipina termasuk dalam sektor perbankan Islam, logistik halal, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Katanya Malaysia sebagai rakan dan jiran tetangga yang rapat, boleh memainkan peranan untuk membantu Filipina dalam pembinaan kapasiti rakyat Filipina dalam pelbagai sektor ekonomi, perdagangan dan sosial terutama di selatan negara itu bagi mewujudkan pembangunan holistik di rantau berkenaan.

“Malaysia adalah rakan pelaburan kedua terbesar di Filipina selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN dan merupakan rakan kelima pelaburan terbesar dengan FDI (Pelaburan Langsung Asing) dicatatkan sebanyak AS$287.3 juta pada tahun 2018 atau 8.2 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan di Filipina,” katanya.

Katanya pada masa ini sudah terdapat syarikat Malaysia yang berpeng-aruh di Filipina yang terlibat dalam pelbagai sektor pelaburan seperti hartanah, perbankan, automotif, pembuatan dah hospitaliti.

Sebagai contoh, katanya, syarikat Malaysia AlloyMtd Group (AlloyMtd) telah mendapat kontrak untuk membangunkan dua projek pusat pentadbiran kerajaan baharu ala ‘mini Putrajaya’ di Wilayah Bataan dan Nueva Ecija di Filipina melalui unit tempatannya, MTD Philippines Inc. dengan nilai kontrak RM400 juta. – Bernama