Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Dengan mengetengahkan penyertaan dari sebanyak 16 buah universiti, kolej dan institusi pengajian tinggi Amerika Syarikat (AS), Pameran Pendidikan Tinggi Amerika Syarikat 2017 bukan sahaja mempamerkan peluang-peluang bagi melanjutkan pengajian bagi para penuntut Brunei tetapi juga mengetengahkan barisan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai program pengajian serta pengalaman belajar bersama penuntut-penuntut antarabangsa dari seluruh pelosok dunia.
Hadir untuk merasmikan pameran pendidikan berkenaan yang berlangsung di Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini, ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad selaku wakil peribadi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Turut hadir ialah Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Craig Allen dan Penyelaras Penasihat Pendidikan Serantau, Education USA, Michael Shaver.
Pameran itu bukan sahaja mengetengahkan universiti dan kolej terkemuka tetapi juga pelbagai institusi yang menawarkan program-program menarik bagi pelajar-pelajar Brunei yang berminat untuk melanjutkan pelajaran mereka ke AS.
Allen dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa universiti dan institusi pengajian tinggi yang menyertai pameran berkenaan merupakan institusi yang mempunyai reputasi, kualiti dan kepelbagaian penuntut yang kuat dalam bidang pendidikan tinggi AS.
Dalam hubungan itu, beliau percaya setiap institusi pengajian tinggi meletakkan keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja penuntut-penuntut mereka tetapi juga ahli-ahli fakulti institusi berkenaan.
Beliau juga menyatakan bahawa Biro Hal Ehwal Kebudayaan dan Pendidikan, Jabatan Negara AS terus meningkatkan lagi hubungan di antara penduduk Negara Brunei Darussalam dan AS menerusi pertukaran akademik, kebudayaan, sukan, profesional dan sektor swasta.
“Kami tahu bahawa pelajar-pelajar antarabangsa membawa bersama mereka pandangan yang baru ke dalam bilik darjah, pengalaman baru ke kampus dan idea baru kepada penyelidikan yang dikendalikan di makmal dan perpustakaan di seluruh negara.”
Dalam hubungan itu, beliau percaya, pertukaran pendidikan antarabangsa mampu untuk membina jambatan persahabatan dan mendalamkan lagi kesefahaman serta rasa hormat di antara satu sama yang lain.
“Tiada lagi cara yang baik untuk mengembangkan kebijaksanaan, empati dan persepsi melainkan menerusi pendidikan,” ulasnya lagi.
Pada masa yang sama, Allen berkata, adalah amat penting untuk memberikan penuntut-penuntut pada masa ini, pendidikan yang menumpukan kepada ilmu pengetahuan global serta kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang saling berhubungan.
Beliau juga berkata, adalah amat penting bagi setiap penuntut perlu tahu bahawa menjadi hak mereka untuk mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira, bangsa dan agama, jika mereka mempunyai keperluan khas.
Pameran Pendidikan Tinggi AS itu mengetengahkan sebanyak 16 buah universiti dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai program ijazah dan lepasan ijazah dalam pelbagai bidang.
Di antara institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian ialah Aviation Institute of Maintenance, Central Washington University, Miami University, Wabash College, University of Massachusetts, University of Hawaii at Manoa, Savannah College of Art and Design, Western Michigan University, University of Northern Iowa, Temple University, American University, Fairleigh Dickinson University, Creighton University dan LIM College (Fashion and Business School).
Pameran itu turut disertai oleh wakil-wakil dari Unit Akreditasi, Bahagian Biasiswa dan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan serta ahli-ahli alumni dari Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), Persatuan Alumni Brunei-AS, Persatuan Alumni AS dan wakil-wakil dari Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam.
Pameran serupa juga akan diadakan pada 9 Februari di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait.