Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Bagi memberikan maklumat terkini mengenai keadaan dan perkembangan pasaran ekonomi, Standard Chartered Securities (SCS) mengadakan Seminar Situasi Pasaran dan Menerokai Peluang Pelaburan di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
Seminar yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang pelanggan dan jemputan khas itu juga dihasratkan untuk memberikan maklumat terkini trend pasaran kepada pelabur yang berminat untuk melabur di pasaran Asia atau antarabangsa.
Pengerusi SCS, Anirvan Dastidar dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Standard Chartered mempunyai siri produk pelaburan dengan pelbagai mata wang yang mempunyai tumpuan berbeza mengikut sektor serta geografi.
Beliau menjelaskan bahawa dengan barisan pelbagai produk itu, ia memberikan pilihan meluas kepada pelanggan untuk meneroka pelbagai pilihan dan portfolio pelaburan dengan pengurusan risiko yang bijak bagi mendapatkan pulangan yang dihajatkan.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan bahawa selain daripada pelbagai produk pelaburan, mereka juga menawarkan perkhidmatan nasihat bagi membantu pelanggan membuat pilihan bijak untuk portfolio mereka.
Semasa seminar itu, Pengurusan Aliran Jualan Kanan Allianz Retail Distribution, Winnie Tan memberikan pandangan mengenai keadaan pasaran serta memberikan penerangan mengenai beberapa produk pilihan terbaharu Allianz.
Seminar serupa juga diadakan bagi pelanggan mereka di Kuala Belait di Botanical Garden Hall, Hotel Garden Sentral, baru-baru ini.
