Peluang tingkat pengetahuan tentang sumber manusia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Dalam usaha meningkatkan kesedaran kepentingan amalan sumber manusia, satu sidang kemuncak, Initiate Human Capital Summit 2021 akan dianjurkan pada 6 Februari 2021 di Auditorium Utama, Bangunan D & T di ibu negara.

Sehubungan itu, satu sidang media mengenainya diadakan oleh penganjur, Grominda Sdn Bhd dan Perspective Insan Academy hari ini di Auditorium iCentre, Anggerek Desa dalam usaha memberigakan acara tersebut.

Menurut ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pengerusi Bersama Initiate 2021, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, sidang itu akan mengongsikan kesedaran terhadap kepentingan sumber manusia dalam apa jua bidang terutama perniagaan.

Manakala Pengerusi Bersama dari Grominda Sdn Bhd, Awang Muhd Nur Aiman bin Haji Minorhadi menjelaskan, sidang sehari itu akan dibuat secara bengkel untuk mempertingkatkan kemahiran dan membincangkan aduan daripada pelanggan berkaitan sumber manusia, mempertingkatkan pengetahuan terhadap modal insan dan sumber manusia secara lebih terperinci lagi serta memperkasa amalan sumber manusia.

Bengkel itu menampilkan tiga pakej penyertaan bagi orang ramai yang berminat dan orang ramai bolehlah menghubungi penganjur untuk butiran lanjut bagi pendaftaran sebelum tarikh tutup akhir Januari 2021.

Yang Berhormat Awang Iswandy dan Awang Muhd Nur Aiman semasa sidang media mengenai sidang kemuncak yang akan diadakan pada 6 Februari tahun depan.