Peluang tingkat profil bagi pengendali pelancongan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Para pengendali pelancongan mapan di Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam kini boleh dan dialu-alukan untuk menyertai Anugerah Pelancongan Mapan ASEAN (ASTA) ke-2 yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025.

Sebanyak 20 pemenang anugerah pelancongan mapan iaitu dua pemenang dari setiap negara anggota ASEAN akan menerima pakej yang dapat meningkatkan profil perniagaan mereka di mana para pemenang akan diketengahkan dalam laman sesawang NTO serta mendapat pendedahan sebagai pengendali amalan terbaik semasa sidang media dan pameran perdagangan seperti ATF, TRAVEX, ITB dan WTM.

Di samping itu, para pemenang juga akan diketengahkan di laman sesawang ASEAN, www.aseantourism.travel serta akan menerima piala dan diiktiraf semasa acara Anugerah Pelancongan Mapan ASEAN yang diadakan sebagai sebahagian daripada Forum Pelancongan ASEAN yang akan berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada Januari 2020.

Anugerah itu diadakan setiap dua tahun di mana ASTA ke-2 membawa tema, Pelancongan Kebudayaan dan Warisan, dengan tarikh tutup bagi menghantar penyertaan bagi anugerah berkenaan adalah pada 30 Oktober 2019.

Keputusan bagi anugerah berkenaan akan diumumkan pada awal Disember nanti dan majlis penganugerahan akan diadakan pada Januari 2020 semasa Forum Pelancongan ASEAN.

Para pengendali yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan dalam anugerah berkenaan dengan melayari laman sesawang www.aseantourism.travel.