Wednesday, June 7, 2023
34 C
Brunei

    -

    Peluang uji kehebatan Xpander Cross baharu

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    GHK Motors baru-baru ini telah mengadakan acara Pandu Uji Media bagi Mitsubishi Xpander Cross baharu. Para media telah diberi taklimat di Bilik Eksekutif Melati, Hotel Mulia, sebelum menyaksikan dan diberi peluang merasakan sendiri prestasi dan keselesaan Mitsubishi Xpander Cross yang baru dilancarkan itu.

    Taklimat disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran, GHK Motors, Awang Ahmad Faezul Imtiaz, dibantu oleh Penganalisis Data dan Pemasaran Digital, Hamizah; Pemasaran Digital, Nur Siraaj dan perunding jualan Mitsubishi.

    Awang Ahmad Faezul menjelaskan bahawa Mitsubishi Xpander Cross terkenal dengan MPV crossover mesra keluarga yang dibina untuk membawa tujuh orang dengan selesa, serta ruang dalaman terbaik dalam kelasnya dan susun atur yang membolehkan penumpang mudah masuk dan keluar.

    “Mitsubishi Xpander Cross Baharu, segmen crossover MPV, diperkenalkan dengan reka bentuk baharu serta fungsi luaran dan dalaman yang diubah suai, lebih mantap dan prestasi pemanduan yang lebih baik.

    “Dikuasakan oleh enjin 1.5 liter MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control system) dengan 4-transmisi kelajuan automatik, ia telah meningkatkan kesenyapan dan kecekapan bahan api,” jelas Awang Ahmad Faezul.

    Pengamal media bergambar semasa menghadiri acara pandu uji Mitsubishi Xpander Cross yang dianjurkan GHK Motors Sdn Bhd baru-baru ini.
    Model terbaharu Mitsubishi Xpander Cross yang dipamerkan.

    Bahagian dalam Xpander Cross terbaharu.

    Menurutnya lagi, siri Xpander itu dibangunkan dalam usaha memenuhi keperluan pelanggan. Ia telah mendapat populariti di ASEAN dan rantau lain di seluruh dunia seperti Timur Tengah, Amerika Latin dan Afrika, dan telah berkembang menjadi salah satu model terpenting bagi Mitsubishi Motors.

    Sebelum uji pandu dimulakan, kami terlebih dahulu menyaksikan secara lebih dekat dan meneliti ciri-ciri yang terdapat pada Xpander Cross baharu itu.

    Apa yang menonjol adalah ia mempunyai reka bentuk luaran dan dalaman yang dinamik berbanding dengan model terdahulunya.

    Menurut Awang Ahmad Faezul, dengan saiz yang lebih panjang dan lebar, ia memberikan keupayaan yang lebih baik di jalan yang lebih lasak atau semasa banjir, dan juga pandangan mata yang lebih tinggi dan penglihatan yang jelas untuk pemandu.

    Semasa memasuki Xpander Cross, dapat dirasakan bahawa ruang dalamannya mempunyai kualiti dari segi rasa dan juga pengendaliannya yang dipertingkatkan.

    Bahagian dalamannya menampilkan panel instrumen berorientasikan mendatar berdasarkan konsep Horizontal Axis, menekankan keluasan kabin dan memudahkan untuk melihat perubahan dalam kedudukan kenderaan semasa memandu, serta stereng empat jejari berdiameter besar baharu yang membangkitkan rasa kemewahan.

    Ciri-ciri baharu lain termasuk meter kluster digital LCD berwarna 8 inci, di mana pemandu boleh melihat maklumat pemanduan mereka, kecekapan bahan api, maklumat kenderaan, status prestasi operasi Active YAW Control (AYC) dan membuat perubahan kepada tiga jenis susun atur skrin meter kluster berbeza atas pilihan pemandu.

    Untuk menawarkan kabin yang canggih, Xpander Cross menggunakan skrin infotainment telefon pintar 7 inci dipautkan audio paparan Android Auto dan Car Apple Play yang lebih intuitif dan lebih mudah untuk digunakan.

    Kawalan penyaman udara dibina dengan panel digital LCD dan jenis dail pada tempat duduk baris kedua.

    Selain itu, tempat duduknya dibuat daripada fabrik berkualiti tinggi yang direka dengan corak berlian hitam dan warna navy dengan jahitan perak.

    Awang Ahmad Faezul menjelaskan bahawa untuk muatan yang benar-benar besar, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat ke bawah untuk mewujudkan kawasan simpanan rata yang besar tanpa bonggol atau celah yang berkapasiti sehingga 1,630L ruang kargo.

    Walaupun dengan tujuh penumpang mengambil semua ruang tempat duduk, Xpander Cross masih mempunyai ruang bagasi yang mencukupi untuk memuatkan empat gelen botol air atau kereta sorong anak damit standard.

    Semasa menjalani uji pandu, media telah mengalami sendiri ciri-ciri pemanduan yang ditawarkan oleh Xpander Cross baharu itu, yang mana ia menawarkan perjalanan yang selamat dan selesa yang kini dipertingkatkan dengan ciri terbaharu termasuk AYC.

    Xpander Cross baharu menggunakan AYC Mitsubishi Motors, yang meningkatkan prestasi selekoh dengan melaraskan daya brek pada roda hadapan.

    Dengan kerjasama Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Awang Ahmad Faezul menjelaskan bahawa sistem itu menyokong pemanduan yang selamat, terjamin dan selesa dalam pelbagai cuaca dan keadaan jalan raya.

    Ciri keselamatan lain termasuk kamera undur, beg udara dwi (pemandu dan penumpang), Sistem ISOfix untuk perlindungan kanak-kanak, EBD, bantuan daki bukit, isyarat berhenti kecemasan, immobilizer enjin anti kecurian, sistem penggera anti kecurian, kekunci anjak transmisi automatik, peringatan sistem kunci, peralatan dan jek dan roda ganti aloi 17 inci original terletak di bahagian bawah belakang kenderaan.

    Semasa acara uji pandu tersebut, GHK turut mengumumkan bahawa mereka sedang mengadakan promosi GHK Raya Rewards di mana pelanggan yang membeli mana-mana model Mitsubishi termasuk Xpander Cross baharu layak untuk mendapat cabutan bertuah Duit Raya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -