Peluang uji pandu Jaguar, Land Rover

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Indera Motors selaku pengedar tunggal jenama Jaguar dan Land Rover di Negara Brunei Darussalam semalam, telah memberi peluang kepada para pelanggannya untuk melihat secara lebih dekat dan meraih pengalaman sendiri untuk menguji pandu model-model terbaharu dari kedua-dua jenama berprestij tersebut.

Diadakan dengan kerjasama Baiduri Finance, Uji Pandu Eksklusif yang berlangsung sehari itu menyediakan model seperti Jaguar XE, XF, XJ, E-Pace, F-Pace, F-Type dan juga barisan model Range Rover dan Land Rover untuk mengetahui lebih banyak mengenai fungsi dan kemampuan setiap kereta yang dihasilkan.

Acara berkenaan yang dibukakan hanya untuk para pelanggan Baiduri Finance, memberi peluang kepada para pelanggan untuk memulakan uji pandu dari Restoran Garden Veranda di Rimba Garden Central menuju ke beberapa buah destinasi yang diinginkan bersama bantuan daripada jurujual Syarikat Indera Motors.

Semasa acara tersebut, para pelanggan turut dihidangkan dengan jamuan istimewa dan ia memberi peluang kepada mereka untuk bertanya kepada kakitangan syarikat berkaitan model kereta yang diinginkan.

Model terbaharu tersebut turut mempunyai pelbagai kelebihan dari segi reka bentuk dan berat badan yang lebih ringan di bawah konsep Jaguar dan Land Rover, menggunakan badan aluminium yang dipertingkatkan, selain memiliki pengurangan berat badan kereta yang mampu memberi prestasi yang terbaik.

Para pelanggan Indera Motors berpeluang mencuba beberapa model terkini dari jenama Jaguar dan Land Rover.