Pelumba antarabangsa mahu menyertai TSG

KUALA TERENGGANU, 27 NOV – Selepas berjaya mengungguli carta nombor satu ‘Ranking Jelajah Asia’ tahun ini, pasukan lumba berbasikal bertaraf benua, Terengganu Inc TSG (TSG) mula dihujani pelbagai permohonan daripada pelumba bertaraf antarabangsa untuk menyertai pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata setakat ini pihaknya menerima 63 permohonan daripada pelumba profesional seluruh dunia yang berminat untuk membawa cabaran TSG pada tahun hadapan.

Bagaimanapun beliau berkata buat masa ini TSG tidak berhasrat melakukan rombakan dan masih mengekalkan khidmat sembilan pelumba anak tempatan dan tujuh pelumba import sedia ada termasuk Artem Ovechkin dan Youcef Reguigui.

“Setakat ini kita masih kekalkan pelumba sedia ada terutama pelumba tempatan bagi membawa cabaran pada tahun depan tetapi kita baru sahaja mula musim baharu dan tengok dulu macam mana prestasi mereka dalam dua tiga bulan akan datang.

Dalam TSG kita ada jawatankuasa teknikal yang menilai prestasi semasa latihan dan perlumbaan,” katanya pada sidang media selepas meraikan kejayaan pasukan TSG di sini, malam tadi. – Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) bersama pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team yang memenangi plak pencapaian selepas mengungguli tempat pertama dalam ‘Ranking Jelajah Asia’ 2019. – Bernama