Pelumba basikal Austria dipenjara dua tahun

VIENNA, 13 JAN – Pelumba berbasikal Austria, Stefan Denifl (gambar bawah) dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana terlibat dalam skandal antarabangsa doping Aderlass yang terbongkar pada 2019.

Naib presiden pengadilan wilayah Innsbruck, Andreas Stutter mengesahkan hukuman berkenaan atas kesalahan ‘penipuan sukan yang amat buruk’.

Dia berkata, kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan mempunyai tempoh tiga hari untuk mengemukakan rayuan atas keputusan itu.

Denifl, 33, mengakui melakukan kesalahan doping ketika sesi perbicaraan di mahkamah pada Februari 2020 tetapi kemudian menafikan tuduhan kesalahan penipuan dengan memberi alasan dia sudah memenuhi kesemua tuntutan kontraknya.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati dia melakukan penipuan terhadap pasukannya melalui penggunaan taktik doping.

Selain hukuman penjara, dia juga dikenakan denda sebanyak AS$424,000 (349,000 euros).

Pada 2019, Agensi Anti Doping Austria melarang Denifl daripada menyertai sebarang pertandingan selama empat tahun selepas terbabit dengan skandal Aderlass.

Mahkamah di Austria sudah pun menjatuhkan hukuman penjara kepada beberapa atlet lain yang terbabit dengan skandal Aderlass. – AFP