Pelumba Petronas Sprinta Racing sasar keputusan lebih baik

KUALA LUMPUR, 13 OGOS – Pelumba Petronas Sprinta Racing  John McPhee dan Khairul Idham Pawi (KIP) berjanji melupakan kekecewaan mereka di Grand Prix (GP) Republik Czech baru-baru ini dan menyasarkan keputusan lebih baik di GP Austria hujung minggu ini.

McPhee yang menduduki tempat kelima di Litar Brno yakin dapat mengubah keputusan dan
menyasarkan untuk menaiki podium di Litar Red Bull Ring apabila menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan tahun lalu.

“Sangat mengujakan untuk kembali, terutama ketika berjaya berada di podium itu tahun lepas. Suasana di Litar Red Bull Ring sangat baik dan ia unik dengan pemandangan bukit besar ketika menghampiri Selekoh 1 dan Selekoh 3,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

“Ia sangat baik bagi Moto3 kerana banyak zon selekoh tajam, jadi sudah pasti ia akan menawarkan perlumbaan yang menarik. Lagipun seronok, dalam beberapa hari lagi, kami akan berlumba semula. Saya rasa ia adalah perlumbaan yang sempurna,” kata pelumba Scotland berusia 26 tahun itu.

KIP yang lebih dikenali dengan Super KIP pula menyasarkan meraih prestasi terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini kerana telah beransur pulih daripada kecederaan jarinya yang dialami semasa sesi latihan bebas di GP Republik Czech.

“Hospital Clinica Mobile telah memberikan saya sesuatu untuk menghentikan saya daripada menggerakkan jari yang tercedera, jadi saya boleh rehatkan ia selama yang boleh, sebelum perlumbaan seterusnya. Ia adalah perlumbaan yang penting kerana saya tahu perlumbaan di Austria akan lebih sukar dengan kecederaan ini, kerana terdapat banyak zon selekoh tajam,” katanya. – Bernama