Peluru berpandu Paris ditemui di pangkalan Haftar

PARIS, 10 JULAI – Kementerian Pertahanan Perancis berkata hari ini tentang peluru berpandunya yang telah ditemui di sebuah pangkalan yang digunakan oleh angkatan yang setia kepada Khalifa Haftar, Libya, namun ia menafikan membekalkannya kepada pemberontak yang merupakan satu pencabulan terhadap sekatan senjata PBB.

Ia berkata peluru berpandu Javelin buatan AS ditemui di kem selatan Tripoli telah diberikan kepada angkatan Perancis yang beroperasi di negara yang dilanda perang itu, namun ia telah rosak dan telah dimusnahkan.

“Alat berkenaan tidak diserahkan kepada angkatan tempatan,” menurut kenyataan dari kementerian tersebut.

Empat peluru berpandu telah ditemui pada 29 Jun apabila angkatan yang setia kepada kerajaan yang diiktiraf oleh PBB di Tripoli menyerang sebuah pangkalan di Gheryan yang digunakan oleh pasukan di bawah perintah Haftar.

Ia ditunjukkan kepada para wartawan pada ketika itu, membawa kepada siasatan di Washington untuk memastikan siapa pemilik senjata itu, yang boleh digunakan ke atas kereta kebal dan kenderaan lain.

“Senjata ini adalah bagi perlindungan angkatan tentera yang menjalankan perisikan dan misi pencegah keganasan,” tambah kenyataan Perancis.

Kemasukan senjata itu berpotensi memalukan Perancis yang sudah lama menafikan pertuduhan yang ia membantu Haftar di lapangan pada waktu yang sama memberinya sokongan diplomatik antarabangsa. – AFP

Gambar fail bertarikh 29 Jun 2019 menunjukkan peluru berpandu Javelin dan munisi yang dilaporkan dirampas daripada angkatan yang setia kepada Jeneral Khalifa Haftar di Gharyana. – AFP