Pemaaf itu rahmah

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mac – Sebagai umat Islam, kita dinasihatkan untuk sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Rasulullah SAW, kerana Baginda adalah ‘uswah hasanah’ iaitu contoh teladan yang terbaik bagi semua untuk diikuti dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah SWT, pergaulan, akhlak dan seumpamanya.

“Antara sifat Rasulullah yang dimaksudkan itu ialah sifat pemaaf dan berlapang dada,” ujar khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Keistimewaan Sifat Pemaaf’.

Maksud memaafkan itu ialah mengambil sikap berlapang dada dan meninggalkan perkara-perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan antara satu sama lain, jelas khatib.

Adapun antara kesan daripada kita memaafkan dan berlapang dada itu ialah menggalakkan sikap untuk tidak membalas perbuatan jahat dengan yang jahat dan ia juga dapat mengelakkan permusuhan dan memperkukuhkan lagi hubungan kemasyarakatan.

Selain itu, dengan adanya sikap memaafkan, ia juga perbuatan yang mampu mencerminkan sikap rahmah dan membawa ketenangan kepada diri dan membuang sifat hasad dengki yang sememangnya membinasakan hati serta perasaan dendam sehingga boleh merosakkan diri sendiri.

“Sesungguhnya memaafkan itu bukanlah bererti satu tanda kelemahan atau pun kekalahan bahkan Allah SWT akan menambah kemuliaan kepada orang yang pemaaf sebagaimana hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan,” tekan khatib lagi.

Dalam pada itu, khatib turut menjelaskan mengasihi diri dengan sifat pemaaf adalah amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan sehari-hari, kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian dan dugaan, yang terkadang menyebabkan timbulnya perasaan marah, tidak puas hati dan sifat dendam dalam diri kita angkara daripada perbuatan orang lain yang tidak menyenangkan hati kita seperti difitnah, dihina, dizalimi dan seumpamanya.

“Perlu diingat agama kita memerintahkan kita umatnya supaya sentiasa bersifat sabar dan kita dianjurkan agar tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya perbuatan jahat itu hendaklah dibalas dengan cara yang lebih baik iaitu dengan kebaikan dan kemaafan,” tegas khatib lagi.

Dalam hal sedemikian, keistimewaan orang yang bersifat pemaaf itu ada dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, antaranya ialah Allah SWT memaafkan dosa orang yang memaafkan dan sifat memaafkan juga dapat melembutkan hati seseorang serta seseorang yang bersifat pemaaf itu akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Khatib menegaskan lagi dosa sesama manusia itu tidak akan diampunkan oleh Allah SWT kecuali setelah kita memohon kemaafan daripada orang yang pernah kita sakiti atau pun zalimi. Oleh yang demikian, mohonlah kemaafan sebelum terlambat. Janganlah kita malu atau pun sombong untuk memohon maaf dan mengakui segala kesilapan yang telah kita lakukan.