Pemain AS, Eropah buru gelaran Piala Ryder

KOHLER, AMERIKA SYARIKAT, 24 SEPT – Piala Ryder akan memulakan perlawanannya di Whistling Straits hari ini, dengan saingan sengit antara pasukan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk memenangi trofi.

Ian Poulter merupakan salah seorang daripada 12 pemain Eropah yang menyasarkan untuk mempertahankan piala yang mereka raih di Perancis pada 2018 menentang pasukan AS, yang merangkumi sembilan daripada 11 pemain terbaik dunia.

Pemain Eropah itu, yang belum pernah tewas dalam saingan perseorangan Piala Ryder, berkata dia akan merasa gementar untuk membuat pukulan di hadapan peminat yang hadir, bergandingan dengan Rory McIlroy di perlawanan empat terakhir menentang Xander Schauffele dan Patrick Cantlay.

“Ketika loceng jam berbunyi pada waktu pagi,” kata Poulter yang memberitahu itulah masanya dia mula gementar.

“Anda tahu ia akan datang. Ia sangat mengujakan. Suasana gemuruh.

Jon Rahm dan Sergio Garcia semasa hari pertama berlangsungnya Piala Ryder di Whistling Straits, kelmarin. – AFP

“Ia adalah sesuatu yang menyeronokkan, dari saat anda keluar dari terowong untuk membuat pukulan dan cuba memasukkan bola ke dalam lubang. Ia adalah sesuatu yang menyeronokkan.”

Pasukan Eropah memenangi sembilan daripada 12 edisi terakhir, termasuk tiga kali daripada enam acara yang dilangsungkan di AS.

Perlawanan pertama, yang tertunda selama setahun disebabkan oleh koronavirus, menyaksikan perlawanan antara Justin Thomas dan Jordan Spieth dari AS menentang Jon Rahm dan Sergio Garcia dari Sepanyol.

“Ia akan menjadi pukulan pertama yang sangat mencemaskan tetapi itulah mengapa Piala Ryder sangat diperkatakan,” kata Garcia.

“Saya pernah mengharunginya sebelum ini dan saya sangat teruja serta berharap dapat bermain dan mendapatkan mata untuk pasukan Eropah.”

Kira-kira 3,500 orang peminat dijangka akan menyaksikan perlawanan di Whistling Straits, Michigan, di mana para pemain menjangkakan suhu sedikit panas dan kurang tiupan angin berbanding semasa sesi latihan. – AFP