Pemain belum divaksin berdepan protokol ketat

LOS ANGELES, 3 OGOS – Pemain NBA yang belum mendapatkan vaksin akan disisihkan daripada rakan sepasukan yang sudah divaksin dan akan dimestikan untuk membuat lebih banyak ujian saringan sebagai sebahagian daripada protokol COVID-19 yang dicadangkan bagi musim baharu yang akan datang, menurut laporan ESPN kelmarin.

Rangkaian penyiaran tersebut melaporkan bahawa di dalam memo yang menghuraikan butiran terperinci mengenai protokol sudah dihantar kepada pasukan-pasukan, pemain belum divaksin akan disediakan bilik lokar berjauhan daripada pemain yang sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Individu yang belum mendapatkan suntikan juga akan duduk di kawasan berasingan daripada mereka yang sudah divaksin ketika waktu makan atau semasa membuat perjalanan di dalam kapal terbang dan bas, menurut laporan.

Lebih banyak ujian bagi pemain yang belum divaksin turut dihuraikan dalam caadangan tersebut. Mereka akan dimestikan membuat ujian semasa hari perlawanan dan semasa hari latihan serta mungkin diwajibkan untuk menjalankan ujian dua kali sehari.

Walau bagaimanapun, pemain yang sudah divaksin akan hanya menjalani ujian sekiranya mereka menunjukkan gejala COVID-19 atau menjadi kontak rapat dengan seseorang yang dijangkiti virus.

Pemain yang belum mendapatkan vaksin tidak diperlukan untuk menjalankan kuarantin, sekiranya keputusan ujian adalah negatif.

Musim NBA 2021-2022 akan bermula pada 19 Oktober, dengan pasukan Brooklyn Nets bertemu Milwaukee Bucks dan Los Angeles Lakers akan menerima kunjungan Golden State Warriors.- AFP