Pemain biola dengan tangan robotik memukau negara

SHIZUOKA, JEPUN – Not-not muzik sayu berkumandang dari biola Manami Ito tatkala jari-jemarinya menggesek tali biola dengan penuh lemah-lembut, sambil menggenggam biola dengan tangan prostetik yang direka khas. Pemuzik Jepun itu memukau seluruh negara dengan persembahan yang pendek namun mempesonakan pada majlis pembukaan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, dan bermain biola bukan tugas hariannya.

Wanita berusia 36 tahun itu ialah seorang jururawat berkelayakan dan seorang bekas perenang Paralimpik yang telah menghabiskan bertahun-tahun lamanya sejak dia kehilangan tangan kanannya dalam kemalangan motosikal untuk mencabar pandangan golongan sinis dan berjaya mengatasi setiap halangan yang dihadapi.

“Terdapat orang yang sentiasa memberitahu saya: “Tidak, anda tidak dapat melakukannya. Ia mustahil,” beritahunya kepada AFP di kediaman ibunya yang terletak di tebing sungai yang hijau. “Setiap kali saya berdepan halangan besar, saya berfikir sendiri, ‘Mereka berkata sedemikian disebabkan tidak ada sesiapa yang telah melakukannya. Maka saya akan membuktikan bahawa saya mampu melakukannya.’”

Namun ia bukan apa yang selalu dirasai oleh Ito, terutamanya semasa mengharungi hari-hari gelap selepas terbabit dalam kemalangan pada usia 20 tahun.

“Saya sangka saya akan mengurungkan diri saya di rumah seumur hidup saya,” akuinya.

Manami Ito, yang juga jururawat berkelayakan dan bekas perenang Paralimpik, memainkan biola menggunakan tangan prostetik semasa sesi fotografi di Shizuoka. – AFP
Pemain biola Manami Ito bermain bersama anak perempuan Mei (kiri) sementara suaminya Yuki (dua kanan) berinteraksi dengan anak perempuan Miu di rumah mereka di Shizuoka. – AFP
Kelihatan gambar-gambar Manami Ito dalam bingkai foto di kediamannya. – AFP
Manami Ito memasang tangan prostetik sebelum bermain biola semasa sesi foto di Shizuoka. – AFP

“Saya tidak mahu kawan-kawan atau jiran saya melihat badan saya, saya tidak mahu mereka tahu apa yang berlaku pada saya.” Manami Ito hanya mengubah pendiriannya apabila dia melihat ibu bapanya ‘dalam kesakitan’ memikirkan keadaannya.

“Saya fikir, saya tidak dapat membuat mereka tersenyum jika saya sendiri tidak senyum,” katanya.

Ito diberi dorongan oleh ibunya untuk bermain biola apabila dia masih kecil lagi, dan selepas kemalangan itu, dia memutuskan untuk mencubanya sekali lagi.

Pada mulanya, dia cuba bermain dengan melekat penggesek pada kakinya. Namun ia mengambil masa beberapa tahun sebelum dia berjaya menerima lengan prostetik khas dan menguasai not-not muzik yang dihasilnya sekarang.

Dan disebabkan semasa kecil dia ‘benci kalah atau gagal,’ dia tidak berani bermain di khalayak ramai untuk tempoh masa yang lama.

Akan tetapi pada akhirnya, keazamannya mengatasi segala-galanya. “Saya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa hanya disebabkan tidak ada sesiapa yang berjaya melakukannya, ia tidak bermakna saya tidak dapat melakukannya,” ujarnya.

Ito telah menjadi pelajar kejururawatan pada masa kemalangan, dan bertekad untuk kembali kepada latihan. Namun tangan prostetik pertama yang diberikan adalah lebih seperti lengan boneka pakaian di kedai berbanding lengan berfungsi.

“Pada mulanya, saya berasa amat gembira, kerana apabila saya memasangnya dan keluar dari rumah, tidak ada sesiapa yang merenungnya,” katanya. Namun tidak lama kemudian dia menyedari ‘ia tidak melakukan apa-apa untuk membantu saya,’ dan berusaha keras untuk menukar dan mendapatkan lengan palsu baharu yang boleh bergerak dan membenarkannya bekerja.

Pada tahun 2007, dia menjadi jururawat berkelayakan pertama di Jepun menggunakan tangan prostetik dan ditugaskan bekerja di bandar barat Kobe, memilih berpindah jauh dari rumah keluarganya agar dia dapat hidup berdikari. Di sana dia menemui satu lagi hobinya semasa kanak-kanak – renang.

Dia mula berlatih untuk pertandingan sukan para selepas kerja sebelum berenang pada kejohanan Beijing Paralimpik pada 2008 dan London 2012, berjaya memasuki pusingan final sebanyak tiga kali di bawah nama sebelum kahwin, Nomura.

Walaupun dia pernah mencuba menyembunyikan parutnya, Ito berkata dia memilih sukan renang disebabkan ia mendedahkan dirinya yang sebenar. “Saya tidak mahu sesiapa memandang pada parut saya, parut saya adalah bahagian paling sensitif di tubuh badan saya,” menurutnya.

“Tetapi saya mula memikir untuk mendedahkannya kepada dunia, kerana jika saya tidak melakukannya, saya tidak sekali-kali akan menjadi tabah dan kuat.” Ito bersara daripada tugas kejururawatan pada 2015 selepas berkahwin, dan kini sebahagian besar masanya menumpu untuk membesarkan anak perempuannya, berusia dua dan lima tahun, walaupun dia masih memberikan ceramah mengenai kehidupannya.

Dia menyaksikan majlis penutup Paralimpik di rumah bersama suami dan anaknya, di mana dia mengajar mereka supaya menghargai diversiti.

“Apabila anak perempuan saya bertambah besar, akan adanya satu hari apabila kawannya memberitahu mereka bahawa ibu mereka nampak pelik,” kata Ito. “Saya mahu mendengarnya berkata bahawa saya ialah ibunya, dan apa yang merupakan normal boleh menjadi sesuatu yang berbeza untuk setiap individu dan setiap keluarga. – AFP