TRIPOLI – Pasukan bola sepak wanita kebangsaan Libya tidak hanya bergelut di atas padang tetapi juga bergelut melawan pandangan masyarakat yang begitu konservatif terhadap kaum wanita yang melakukan aktiviti sukan di khalayak orang ramai. Atlet dan pasukan wanita sering menghadapi pelbagai kritikan dan cercaan.
“Pergi dan lindungi diri awak!” “Tempatmu adalah di rumah.” “Awak bermain kerana awak tidak mempunyai pendamping lelaki untuk mendidik awak.” Komen-komen seperti itu sering dilemparkan kepada pemain-pemain setiap kali mereka mengadakan latihan, menurut Saida Saad, salah seorang pemain pasukan tersebut.
Seperti rakan sepasukannya, dia memakai seluar bersama sendat tebal yang melapisi seluar pendeknya, bagi memastikan kulit tidak terdedah. Namun, bagi sesetengah pengkritik mengatakan bahawa ianya masih tidak mencukupi.
“Bagi pencinta sukan, kami telah didiskriminasi,” kata Saida, yang berasal dari bandar timur Benghazi. “Kami cuba untuk mengubah persepsi dan pandangan buruk masyarakat.”
Dia telah menyertai rakan sepasukannya yang lain dengan menjalani sesi latihan di ibu negara Bandar Raya Sukan Tripoli menjelang perlawanan kelayakan Piala Afrika menentang Ethiopia pada awal bulan April lalu.

Jurulatih Hassan Ferjani mempunyai harapan yang tidak begitu tinggi buat pasukannya. Beliau menjalani latihan sekurang-kurangnya 90 minit di padang.
“Malang sekali, inilah pertama kali mereka bermain di sebuah padang besar,” katanya.
Beberapa hari menjelang perlawanan, hanya 10 pemain sahaja yang berjaya mengikuti sesi latihan.
Manakala yang lain, termasuk beberapa pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah menyertai pasukan itu di Kaherah, venue bagi perlawanan di ‘tempat sendiri’ di mana badan pentadbir bola sepak dunia, FIFA, tidak membenarkan pemain antarabangsa berada di Libya (yang masih dalam pergolakan) dalam menentang pasukan Ethiopia.
Mereka tewas 8-0 pada perlawanan pertama dan dibelasah 7-0 pada perlawanan kedua di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa. Mereka tidak mampu untuk menjaringkan satu gol pun.
“Tanpa melihat keputusan akhir, mereka telah membuatkan kami merasa bangga apabila mereka menunjukkan semangat yang tinggi, menentang segala budaya patriakal dan fahaman melampau. Mereka semua perlu mendapatkan sokongan!” kata Zahra Langhi, seorang aktivis hak asasi manusia Libya, tulisnya di dalam ruangan Twitter.
Dengan tiada liga bola sepak wanita di Libya, pemain untuk pasukan kebangsaan itu telah dipilih semasa kejohanan sekolah-sekolah di seluruh negara tersebut.
Melatih kumpulan wanita muda ini menjadi taraf antarabangsa adalah satu cabaran yang menggentarkan. Dan bahagian yang paling sukar adalah meyakinkan kaum keluarga mereka untuk membenarkan mereka bermain.
Ramai daripada kalangan ibu bapa pemain yang berpotensi telah melarang anak-anak perempuan mereka untuk mengambil bahagian. Ada yang menerima, tetapi dengan syarat bahawa mereka perlu dibawa bersama, menemani anak perempuan mereka. Ferjani berkata bahawa pasukan itu kekurangan dana.


Menghadapi halangan-halangan ini, jurulatih itu berkata bahawa dia sudah hampir berputus asa.
“Apa yang mendorong saya untuk meneruskannya adalah keinginan dan keazaman pemain yang mahu meningkatkan tahap kemahiran mereka,” katanya.
Tetapi, tambahnya, “perjuangan di luar padang adalah jauh lebih penting.
“Terdapat ramai wanita muda yang berbakat namun ada yang menghalang mereka untuk bermain bola sepak iaitu tekanan sosial,” kata Rasha Nouri, seorang anggota veteran pasukan kebangsaan Libya, yang terkenal dengan nama ‘Satria Mediterranean’.
Nouri, 25, berkata dia pada mulanya menghadapi ‘banyak kesulitan dalam menempuhi masyarakat yang sangat konservatif ini’.
Selepas dia dipilih semasa kejohanan sekolah tinggi, ibu bapanya telah mendorongnya untuk mengikuti sukan itu.
“Mereka mencabar (masyarakat) bersama saya dan juga menyokong saya,” katanya.
Setelah mendapat lesen kejurulatihan, dia berkata dia kini berharap untuk dapat melatih pasukan belia wanita dan akhirnya memulakan liga kebangsaan. Dia juga mahu “mengubah mentaliti masyarakat menerusi rangkaian sosial dan media,” katanya.
Souad al-Shibani, ketua bola sepak wanita Persekutuan Bola Sepak Libya, memberitahu AFP bahawa badan itu merancang untuk melancarkan sebuah program membangunkan sukan itu, bermula dari liga bola sepak sekolah bagi wanita-wanita muda.
“Kami akan cuba untuk mengadakan perlawanan di sekolah-sekolah pada setiap hari Sabtu,” katanya.
Shibani berkata dia sangat ‘optimistik’ mengenai masa depan bola sepak di Libya kerana generasi muda ‘lebih terbuka dan bersemangat waja’. – AFP