Pemain boling Malaysia diuji

KUALA LUMPUR, 20 OGOS – Menghabiskan masa setahun tanpa sebarang kejohanan dan matlamat boleh mematahkan semangat atlet, justeru Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyediakan saingan dalaman secara bulanan untuk pemain boling negara dengan ujian pertama seawal minggu depan.

Langkah itu diambil selepas kesemua kejohanan yang dijadualkan tahun ini termasuk Kejohanan Asia dan Terbuka Malaysia dibatalkan susulan penularan COVID-19.

Saingan dalaman itu juga akan menyaksikan penyertaan skuad penuh negara selepas bekas juara dunia Syaidatul Afifah Badrul Hamidi kembali menjalani latihan setelah dijangkiti pneumonia bulan lepas.

Setiausaha Agung MTBC  Maradona Chok berkata saingan dalaman itu akan menyaksikan atlet elit dan pelapis bersaing membuktikan keupayaan masing-masing memandangkan kali terakhir mereka bersaing ialah pada Sukan SEA 2019, Disember lepas.

“Setahun tanpa kejohanan merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah kami hadapi sebelum ini. Bagi memastikan atlet kekal berdaya saing dan bersemangat, kami perlu adakan kejohanan,” katanya kepada Bernama. – Bernama