Pemain Cuba belot

LOS ANGELES, 19 JUN – Seorang anggota skuad Piala Emas CONCACAF Cuba telah belot di Amerika Syarikat (AS), kata jurulatih Raul Mederos pada Selasa.

Ketika bercakap di Denver, Mederos mengesahkan pemain tengah Yasmani Lopez telah meninggalkan skuad setelah Cuba dibelasah 7-0 oleh Mexico dalam aksi pembukaan kejohanan mereka di Pasadena, California pada Sabtu.

“Berhubung kes Yasmani, itu keputusannya,” kata Mederos. “Tiada seorang pun daripada delegasi lain ada hubungan dengannya. Itu keputusannya. Dia mengambil dan membuat keputusan itu sendiri,” kata Mederos pada sidang akhbar.

Cuba berdepan Martinique di Denver esok dalam perlawanan kedua kejohanan itu.

Lopez, 31, merupakan salah seorang pemain Cuba yang paling berpengalaman dan membuat penampilan pertama dalam kejohanan Piala Emas menentang Belize pada 2013.

Pemain tengah itu telah meraih 28 kap, menjaringkan gol tunggal dan telah mengambil bahagian dalam lima kejohanan Piala Emas.

Atlet dari Cuba yang mengambil bahagian dalam acara sukan di AS dan Kanada mempunyai sejarah belot yang panjang. – AFP