Pemain diwajibkan lengkap dos vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mewajibkan kesemua pemain dalam Piala Tun Abdul Razak 2021 dan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 melengkapkan dua dos vaksin untuk bermain dalam dua kejohanan domestik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata syarat itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penganjuran kedua-dua kejohanan berkenaan dalam membendung penularan COVID-19 ketika ini.

“Kesemua pemain perlu menerima dua dos vaksin, jika tidak, anda tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan. Kita akan minta mereka tanda tangan untuk pastikan bahawa semua pemain telah melengkapkan dua dos vaksin,” katanya hari ini.

Piala Tun Abdul Razak 2021 dijadual bermula pada 10 hingga 20 Nov ini, manakala MJHL 2021 bakal berlangsung bermula 26 Nov hingga 2 Jan 2022.

Sementara itu beliau berkata terdapat sedikit perubahan bagi penganjuran MJHL 2021 dengan kejohanan itu akan dilangsungkan bagi kategori lelaki sahaja.

Bagaimanapun Anil Jeet berkata pihaknya mempunyai perancangan untuk menganjurkan kejohanan bagi ka-tegori wanita pada awal tahun depan.

Menurutnya format yang digunakan pada edisi MJHL sebelum ini iaitu pecahan dua divisyen akan dikekalkan dengan divisyen satu akan dipertandingkan secara liga satu pusingan melibatkan 10 pasukan, manakala bagi divisyen dua pula, kumpulan dipecahkan mengikut penyertaan diterima KHM.- Bernama