Pemain gitar Red Hot Chili Peppers meninggal dunia

Pemain gitar album pertama kumpulan rock terkenal Red Hot Chili Peppers (RHCP), Jack Sherman, meninggal dunia pada usia 64 tahun.

Berita itu dimaklumkan oleh pengurusan kumpulan terbabit,  semalam menerusi Instagram.

“Kami, keluarga besar RHCP berharap Jack Sherman ‘berlayar dengan lancar’ ke dunia yang lain, dia sudah tiada,” demikian kenyataan RHCP yang dikongsi dalam akaun media sosial itu.

“Dia bermain pada album pertama dan terbabit pada jelajah pertama kami di Amerika Syarikat.

“Dia adalah insan yang unik dan kami berterima kasih atas semua detik manis, pahit dan kenangan diluangkan bersama,” kata mereka.

Dalam sejarah RHCP, biarpun Sherman menjadi gitaris dalam album pertama, dia sebenarnya bukanlah pemain gitar yang pertama kumpulan ini.

Selain dalam album pertama berjudul The Red Hot Chili Peppers, Sherman juga terbabit sebagai pencipta bersama beberapa lagu untuk album kedua berjudul Freaky Styley, pada 1985.

Tahun berikutnya, Sherman mengundur diri daripada RHCP dan tempatnya digantikan semula oleh Hillel Slovak.

The Red Hot Chili Peppers adalah album pertama kumpulan yang dibentuk Kiedis bersama Flea pada era 1980an.  – Agensi

Jack Sherman gitaris kumpulan rock terkenal Red Hot Chili Peppers meninggal dunia pada usia 64 tahun. – Agensi