Pemain industri disaran tingkat penggunaan biodiesel

PELABUHAN KLANG, 13 Sept – Kerajaan Malaysia menyeru pemain industri, terutama dari sektor pengangkutan dan perkilangan, supaya meningkatkan penggunaan minyak biodiesel sebagai satu usaha untuk menjayakan program B10 (10 peratus methyl ester minyak sawit dengan 90 peratus diesel petroleum) di negara ini.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, langkah proaktif itu perlu dibuat bagi memastikan kelangsungan penggunaan minyak biodiesel sebagai bahan api alternatif, yang mana dapat menggantikan diesel petroleum.

“Kerajaan kini sedang berusaha untuk menjayakan program B10 di sektor pengangkutan, menerusi usaha sama dengan beberapa pihak berkepentingan seperti Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV).

“(Namun) menerusi sesi konsultasi yang diadakan pada 1 Ogos lalu bersama syarikat-syarikat pengeluar kenderaan, persatuan pengilang seperti Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan syarikat petroleum, saya dapati terdapat pihak yang masih tidak berkeyakinan terhadap penggunaan B10,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘Inisiatif FGV-Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dalam Meneraju Penggunaan B10’ di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad serta Pengerusi MPOB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Teresa Kok (dua, kiri) semasa di beri penerangan mengenai penggunaan Biodiesel B10 pada Majlis pelancaran Inisiatif FGV-MPOB Dalam Menerajui Penggunaan B10 di Felda Transport Services Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Pandamaran, kelmarin. – Bernama

Kok berkata susulan maklum balas yang diterima itu, pihaknya akan merangka pelan pelaksanaan program biodiesel yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan minyak biodiesel sekaligus dapat menyumbang kepada kemampanan industri sawit negara.

“Malaysia sebagai salah satu pengeluar utama minyak sawit memainkan peranan penting untuk memastikan komoditi ini mendapat sambutan yang baik di mata dunia, termasuk penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api.

“Saya difahamkan bahawa projek penggunaan B10 FGV-MPOB telah dimulakan sejak Oktober 2017 dan inisiatif FGV untuk menggunakan B10 boleh dijadikan contoh kepada syarikat perladangan sawit lain bagi mempromosikan penggunaan B10,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata FGV dan MPOB telah menjalankan ujian penggunaan B10 secara komprehensif sejak Ogos tahun lalu menerusi bahagian logistik, sebelum diperluaskan kepada sektor ladang dan kilang masing-masing.

Beliau berkata setakat hujung Ogos lepas, bahagian logistik FGV telah menggunakan 91,536 liter B10 dengan jarak perjalanan sejauh 172,932 kilometer, manakala dalam operasi ladang dan kilang, masing-masing menggunakan 26,347 liter dan 59,077 liter B10. – Bernama