Pemain muda Barca, Fati tersenarai skuad Sepanyol

MADRID, 20 OGOS – Pemain muda Barcelona, Ansu Fati telah disenaraikan dalam skuad senior Sepanyol untuk pertama kalinya, kata jurulatih Luis Enrique hari ini.

Fati, 17, telah dipanggil untuk perlawanan antarabangsa pada September ini menentang Jerman dan Ukraine setelah menjaringkan lapan gol dalam 33 perlawanan untuk kelab musim lalu.

“Dia mempunyai kualiti untuk bermain bersama kami. Dia mempunyai statistik yang sangat baik, satu-satunya pemain dengan rekod jaringan yang lebih baik di Barca adalah Lionel Messi,” kata Enrique.

“Dia mempunyai segalanya untuk menjadi pemain penting dalam skuad,” tambahnya.

Enrique kembali ke Sepanyol pada bulan November setelah mengundurkan diri pada bulan Jun lalu untuk menjaga anak perempuannya, Xana, yang meninggal dunia akibat barah. – AFP