Pemain muda DPMM FC terima biasiswa kembangkan bakat

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pemain Bawah 16 tahun (B-16) DPMM FC, Mohammad Ateeq Hisham bin Zainal Abidin (gambar bawah) menjadi pemain pertama dari akademi bola sepak tempatan yang dianugerahkan biasiswa Akademi Bola Sepak Cruizeiro oleh Sekolah Antarabangsa Britain Phuket (BISP) di Phuket, Thailand.

Pemain muda berbakat, yang menghabiskan masa selama tujuh tahun di Negara Brunei Darussalam dan mewakili DPMM FC B-16 tahun semasa aksi liga B-16, telah diterima selepas mengagumkan jurulatih semasa hari pertama tempoh percubaan pada Januari lalu.

Mohammad Ateeq, seorang pemain akademi Projek Ikan Pusu (PIP) sebelum menyertai pasukan DPMM B-16, akan meninggalkan negara ini untuk ke Phuket pada Rabu depan untuk memulakan pengembaraan baharu dalam perjalanan bola sepaknya dan menyertai pemain-pemain akademi antarabangsa yang lain.

“Saya mendapat tahu mengenai biasiswa ini tahun lalu apabila ayah saya memberitahu mengenainya. Saya terus berminat. Saya menjalani percubaan pada bulan Januari dan selepas perintah sekatan, mereka telah menghubungi ayah saya dan menawarkan biasiswa kepada saya,” katanya semasa temu bual dengan wartawan di Stadium Mini Jerudong kelmarin. Pemain muda tersebut mengongsikan mengenai bagaimana sekolah tersebut dijalankan secara profesional dan jurulatih-jurulatih telah mendorongnya untuk menyertai akademi tersebut.

Ayahnya menyifatkan BISP sebagai sekolah yang mempunyai persembahan yang tinggi di mana mereka bekerjasama dengan akademi terkemuka Brazil, Cruzeiro. Selepas menimba pengalaman di Negara Brunei Darussalam, dia bersetuju dengan perpindahannya ke Thailand akan memberikannya peluang untuk mengembangkan lagi bakat, di mana dia akan bersaing untuk merebut tempat dengan pemain-pemain daripada warganegara yang berbeza.

“Saya rasa ia adalah perkara yang biasa sebagai pemain muda untuk mendedahkan diri dengan perkara-perkara seperti ini (biasiswa). Saya melihatnya sebagai satu peluang dan jurulatih-jurulatih di sana sangat profesional,” kata Ateeq yang mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya kelmarin.

“Masih terdapat ruang untuk memperbaiki diri tidak kira bagusnya kita. Ia adalah sesuatu yang baik kerana mereka sentiasa membantu memperbaiki dan memberitahu kita apa yang perlu diusahakan,” ujarnya.