Pemain muda perlu minit permainan secukupnya

KUALA LUMPUR, 2 NOV – Barisan pemain muda Malaysia mesti mendapat minit permainan  secukupnya bersama pasukan di peringkat domestik untuk memastikan Malaysia tidak sekadar mengambil bahagian sebaliknya mampu memberi tentangan pada kempen Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata minit permainan amat penting dalam persediaan pemain muda khususnya tonggak skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia menghadapi cabaran sengit kempen itu yang akan berlangsung di Uzbekistan. Menjadikan antara pasukan gergasi di rantau Asia seperti Korea Selatan, Australia dan Jepun sebagai contoh, pengendali Sabah FC itu berkata kebanyakan pemain mereka beraksi di liga utama negara masing-masing, malah ada yang turut menimba pengalaman di luar negara.

“Sekalipun persiapan (pasukan kebangsaan) singkat tetapi pendedahan yang mereka terima daripada bermain setiap minggu, memberi mereka kelebihan dan situasi sama juga dengan pemain kita.

“Saya harap pemain-pemain ini (skuad B-22 Malaysia) dapat bermain setiap minggu. Terutamanya di awal saingan liga musim depan mereka bermain setiap minggu, ini dapat membantu dari segi intensiti dan persiapan diri mereka sebelum dipanggil ke kejohanan antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Kim Swee yang pernah menggalas tanggungjawab membimbing skuad B-22 Malaysia mengakui faktor kepercayaan menjadi cabaran utama kepada pengendali pasukan untuk mempertaruhkan pemain muda atau baharu dalam perlawanan-perlawanan utama. Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Melaka itu menegaskan elemen diperlukan setiap pemain muda dalam mencapai kematangan permainan adalah peluang dan pendedahan. 

“Jika peluang dan pendedahan tidak diberi, kita tidak akan nampak kemajuan pemain dan ia akan terbantut. Walaupun kita mempunyai ramai bakat, jika tidak bermain secara kompetitif ia akan melambatkan proses kematangan mereka,” kata pengendali berusia 50 tahun itu. – Bernama