Pemain NBA setuju potong gaji

LOS ANGELES, 19 APRIL NBA dan kesatuan pemain-pemain bersetuju untuk mengurangkan pampasan sekiranya permainan dibatalkan secara kekal di tengah-tengah wabak COVID-19 ketika pesuruhjaya Adam Silver berkata ia kekal tidak jelas bila liga akan boleh merancang kejohanan semula.

Silver bercakap kepada wartawan menerusi konferensi melalui telefon pada malam yang sepatutnya menjadi permulaan playoff NBA mengatakan liga itu ‘tidak bersedia untuk menentukan tarikh berapa lama mereka akan menunggu sebelum mereka tidak boleh menyambung musim ini.

“Segala-galanya masih terbuka, termasuk potensi menunda permulaan musim hadapan,” katanya, menurut Miami Herald. “Kita tidak berada dalam posisi untuk membuat sebarang keputusan, dan ia adalah tidak jelas bila kita akan menyambungnya.

“Kami tidak mempunyai informasi yang mencukupi untuk membuat keputusan.”

Silver bercakap selepas liga mengesahkan bahawa bermula 15 Mei, 25 peratus gaji pemain akan dipotong dari pembayaran gaji bulanan.

Rancangan tersebut, dipersetujui oleh Persatuan Pemain Bola Keranjang Kebangsaan (NBPA), akan ‘memberikan pemain dengan lebih banyak pemotongan gaji mengikut jadual’ jika kemungkinan perlawanan secara rasminya dibatalkan.

Persetujuan bersama di antara liga dan NBPA menetapkan bahawa pampasan bagi semua pemain akan dikurangkan dalam kes kejadian ‘force majeure’ seperti epidemik atau arahan kerajaan yang memaksa pembatalan perlawanan.

Angka potongan gaji pemain secara keseluruhannya akan dikira mengikut jumlah perlawanan yang terlepas. NBA mengantungkan musim ini pada 11 Mac selepas pemain Utah Jazz, Rudy Gobert diuji positif COVID-19.

Tujuh orang pemain NBA turut dilaporkan diuji positif.

Silver mengambil maklum bahawa angka tersebut sememangnya besar tetapi berkata untuk sebab-sebab privasi, liga tidak akan mendedahkan nama-nama pemain yang didiagnosis dengan koronavirus. – AFP