Pemain, Pegawai NSFC terima sumbangan

SEREMBAN, 15 SEPT – Kerajaan Negeri Sembilan memberi sumbangan wang tunai RM2,000 kepada setiap pegawai dan pemain pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) atas kejayaan layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sumbangan itu sebagai menghargai usaha dan perjuangan skuad Hobin Jang Hobin yang bukan sahaja layak ke saingan Liga Super tetapi Piala Malaysia tahun hadapan.

“Diharapkan sumbangan kerajaan negeri ini akan memberi momentum baharu serta menaikkan semangat pasukan untuk melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Bersama Pasukan NSFC yang turut dihadiri Presiden PBNS Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idris Al-Qadri di sini. – Bernama