Pemain, pengurus Gunners setuju potong gaji

LONDON, 21 APRIL – Arsenal menjadi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama bersetuju untuk pemotongan gaji bagi pemain dan pengurus mereka, Mikel Arteta dan pemain bintangnya memotong gaji mereka dengan kadar 12.5 peratus kelmarin.

Selepas Southampton dan West Ham mengumumkan perjanjian penundaan gaji dengan pemain mereka, Arsenal mengambil satu langkah ke hadapan dengan menetapkan pemotongan gaji dari Arteta dan skuad pasukan utamanya.

“Kami sangat gembira untuk mengumumkan bahawa kami telah mencapai persetujuan secara sukarela dengan pemain pasukan utama, ketua jurulatih dan jurulatih utama untuk membantu menyokong kelab di saat-saat kritikal ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Arsenal.

“Langkah ini dibuat selepas perbincangan yang positif dan memberangsangkan. Semua pihak mahu berganding bahu dalam sama-sama menghadapi serta menangani pandemik wabak COVID-19 dan keinginan mereka untuk menunjukkan sokongan ke atas keluarga Arsenal.”

Perjanjian pembayaran dibuat selepas beberapa siri rundingan selama lebih dua bulan di tengah-tengah kritikan ke atas pemain-pemain Liga Perdana mengenai kegagalan untuk bersetuju pemotongan gaji sedangkan beberapa buah kelab telah membenarkan kakitangan untuk bercuti demi menjimatkan perbelanjaan.

Liga Perdana Inggeris telah meminta kelab untuk membuat pemotongan gaji sebanyak 30 peratus ke atas pemain mereka, tetapi Persatuan Bolasepak Profesional Inggeris berkata ia akan menjejaskan sumbangan cukai kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Selepas berdiam diri terhadap permintaan mereka, Arsenal kini telah mencapai persetujuan dan terima kasih ke atas pengaruh Arteta, menurut laporan.

Arteta, yang telah pulih selepas dijangkiti virus tersebut pada bulan Mac lalu, bercakap kepada 27 orang skuadnya dalam panggilan video minggu lalu.

Terdapat laporan mengatakan bahawa Arsenal, yang mempunyai bil tahunan kira-kira 230 juta pound, akan memberikan semula wang pemain mereka dalam perebutan kelayakan ke Liga Juara-Juara apabila bola sepak disambung semula. – AFP

Arsenal menjadi kelab EPL pertama bersetuju untuk melakukan pemotongan gaji bagi pemain dan pengurus mereka dengan kadar 12.5 peratus. – AFP