Pemain perlu bangga sarung jersi kebangsaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jan – Dua sasaran utama bagi Skuad Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun 2017 ini antaranya adalah Kejohanan Bola Jaring Asia dan Kejohanan Sukan Asia Tenggara.

Menurut jurulatih skuad bola jaring kebangsaan, Thilaka Jinadisa, Kejohanan Bola Jaring Asia akan berlangsung pada 6 hingga 13 Mei dan kini Brunei Darussalam berada di kedudukan keenam kejohanan itu. Pada masa yang sama skuad kebangsaan juga akan meneruskan misi mempertahankan pingat gangsa pada Sukan Asia Tenggara dua tahun lalu, malah membuat sasaran untuk memperbaiki kedudukan pingat di kejohanan itu nanti.

Untuk tujuan itu, jurulatih bola jaring kebangsaan menegaskan bahawa pemilihan akan dibuat bagi mendapatkan 18 ke 20 orang pemain utama bagi skuad kebangsaan, dan sesi pemilihan ini akan bermula pada 11 januari ini nanti dengan ujian kecergasan.

“Saya berharap sesiapa saja yang berhasrat untuk menyarung jersi kebangsaan, mereka perlu menjalani ujian kecergasan di Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sukan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas,” ujarnya.

Usaha ini menurutnya akan membantu mendapatkan pemain yang sememangnya sudah bersedia dari aspek kecergasan, kerana pengalaman lalu apabila menerima pemain yang bagus di dalam gelanggang tetapi kurang memuaskan dari aspek kecergasan sehingga memaksa persatuan untuk mengambil masa empat bulan untuk mempersiapkan pemain dari aspek kecergasan.

Jurulatih skuad bola jaring kebangsaan, Thilaka Jinadisa ketika ditemu bual.
Jurulatih skuad bola jaring kebangsaan, Thilaka Jinadisa ketika ditemu bual.

“Semua pemain tidak kira yang lama, pemain kebangsaan dan pemain baru perlu melalui langkah pertama ini kerana ini adalah prosedur yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga persatuan,” tegasnya lagi.

Pemilihan di gelanggang akan dibuat pada 20 Januari nanti dan semua pemain yang tersenarai daripada tapisan kecergasan akan diberikan rehat sebelum memulakan sesi pemilihan peringkat kedua itu.

“Apa yang perlu diubah dari apsek trend adalah jiwa dan hati untuk menyarung jersi kebangsaan, kenapa saya berkata begitu, di sini terdapat banyak kejohanan mini pada hujung minggu dan berjaya menarik minat ramai pemain, namun apabila datang kepada skuad kebangsaan tidak ramai yang tampil dan perkara ini pada saya sangat ganjil,” tegasnya lagi.

Menurutnya, berbanding ketika beliau masih bergelar seorang pemain satu ketika dahulu, menyarung jersi kebangsaan adalah satu penghargaan dan pengiktirafan yang sangat berharga serta sewajarnya semangat ini perlu ada dalam diri setiap pemain.

“Saya menyeru supaya pemain tampil dan bersemangat waja untuk bangsa dan negara dalam sukan yang mereka minati ini. Dan setakat ini kami terpaksa mencampuradukkan pemain muda dan pemain kebangsaan untuk bermain dalam dua skuad yang berbeza,” katanya lagi.

Beliau juga menambah bahawa kini beliau terpaksa menguruskan dua pasukan dalam satu masa dan ia sangat mencabar. Beliau percaya jika adanya pembantu jurulatih pasti akan lebih fokus dalam latihan untuk membimbing pemain-pemain negara ini.

Beliau berkongsi tips kepada semua bakal pemain untuk bersiap sedia bermula minggu ini dengan latihan berhalangan, larian dan pecutan, reaksi dan respons pemain.

“Tiada istilah gagal dalam pemilihan ini kerana pada saya tumpuan utama adalah untuk mengenalpasti pemain yang mempunyai kecenderungan dan semangat tinggi untuk mewakili negara ini di peringkat serantau dan antarabangsa,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai perancangan bagi skuad ini, beliau kini dalam perundingan bersama skuad bola jaring kebangsaan Sri Lanka untuk mengadakan perlawanan persahabatan sekitar bulan April ini nanti.

“Selain daripada itu, kami juga merancang untuk sekali lagi membuat latihan di luar seperti di Kota Kinabalu pada bulan Mac ini nanti dan juga satu lagi latihan antarabangsa, mungkin di Australia atau Sri Lanka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Namun semua ini tergantung kepada dana dan kewangan,” tegas Thilaka lagi.

Beliau menasihatkan agar para pemain terus komited dan cuba berkorban masa serta tenaga untuk negara.