‘Pemain perlu patuh SOP latihan di padang’

KUALA TERENGGANU, 21 JUN – Di sebalik keterujaan dapat kembali menjalani latihan di padang seperti biasa mulai hari ini, jurulatih pasukan Terengganu II (TFC II) Roshadi Wahab tetap mengingatkan para pemainnya supaya patuh terhadap peraturan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Roshadi berkata beliau amat memahami kegembiraan anak buahnya apabila dapat kembali bersama rakan-rakan sepasukan selepas tiga bulan ‘terkurung’ dan mengikuti program latihan sendiri di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua pemain termasuk tonggak import sudah berada di Terengganu dan siap sedia untuk turun ke padang dengan norma serta corak latihan yang berbeza.

“Sudah pasti latihan kali ini sangat berbeza kerana pemain masih dilarang bersentuhan antara satu sama lain bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

“Jadi saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan kembali fokus pada latihan supaya dapat menemui rentak permainan seperti sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Roshadi, walaupun akan berlaku kesukaran pada awal latihan kerana pelbagai kekangan dan SOP yang perlu dipatuhi, beliau yakin barisan kendaliannya cukup matang dan akan mendapat kembali rentak permainan mereka dalam masa yang singkat. TFC ll memulakan cabaran Liga Perdana dengan cemerlang pada awal musim ini dengan memenangi kesemua empat perlawanan menentang Selangor ll, PKNP 2, Kuching FA dan Kelantan United.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan skuad Penyu di carta teratas liga Perdana dengan 12 mata diikuti pasukan Kelantan United, sembilan mata. – Bernama