Pemain Real setuju potongan gaji 20 peratus

MADRID, 9 APRIL – Pemain-pemain Real Madrid telah bersetuju untuk membuat pemotongan gaji sebanyak 20 peratus, kelab La Liga mengumumkan kelmarin, dengan bola sepak Sepanyol masih lagi digantung disebabkan oleh pandemik koronavirus.

Dalam kenyataan, Real berkata pemain dan jurulatih dari pasukan bola sepak dan bola keranjang, termasuk pengarah-pengarah tertinggi, secara sukarela ‘bersetuju untuk pengurangan di antara 10 dan 20 peratus,’ tertakluk kepada keadaan yang mungkin akan menjejaskan penutup musim sukan 2019/2020″.

Real tidak berkata apa keadaan yang menjejaskan kadar pemotongan gaji, tetapi media Sepanyol melaporkan pemain akan menyaksikan pemotongan sekurang-kurangnya 10 peratus jika musim ini dihabiskan dan 20 peratus pemotongan jika kempen musim ini ditamatkan.

Pemotongan itu dianggarkan kira-kira 28 juta dan 56 juta euro daripada segi pembayaran gaji Real.

Ini bermakna kelab telah mengelak daripada menggunakan skim separa pengangguran (ERTE) yang telah memotong gaji pemain Barcelona dan Atletico Madrid sebanyak 70 peratus.

La Liga mencadangkan kelab untuk mengambil kesempatan ke atas skim, dan Sevile dan Espanyol telah membuat rayuan untuk dimasukkan ke dalam skim ERTE.

Lebih daripada 14,000 orang telah terkorban akibat COVID-19 di Sepanyol, negara kedua paling teruk terjejas selepas Itali, dengan 146,690 kes telah dilaporkan. – AFP