Pemain S’pura ‘merajuk’ ke Thailand

SINGAPURA, 3 OKT – Pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris pertama dari Singapura dijangka bermain untuk Thailand bagi Sukan SEA, selepas negara itu memberi amaran bahawa dia mungkin berdepan hukuman penjara kerana mengelakkan diri daripada perkhidmatan negara.

Ben Davis menandatangani perjanjian dua tahun bersama Fulham tahun lepas pada usia 17 tahun, tetapi kerajaan Singapura menolak untuk membenarkannya menangguhkan perkhidmatan negara mandatori.

Dia akan menyertai pasukan bawah-23 tahun Thailand bagi Sukan SEA, di Filipina pada November dan Disember, menurut satu senarai pasukan yang dimuat naik oleh Persatuan Bola Sepak Thailand di laman sesawangnya.

Davis sebelum ini mewakili pasukan B-16 dan B-18 Singapura.

Sementara dia seorang warganegara Singapura, media setempat melaporkan bahawa Davis dilahirkan di pulau pelancongan Thailand, Phuket oleh seorang wanita Thai dan bapanya warga British, di mana mereka hanya berpindah ke Singapura selepas Davis berusia lima tahun.

Kesemua lelaki warga Singapura berusia 18 tahun dimestikan menjalani latihan dalam ketenteraan, polis atau perkhidmatan kecemasan selama dua tahun, satu kewajipan yang jarang sekali diberi kelonggaran oleh pihak berkuasa.

Kementerian Pertahanan memberi amaran awal tahun ini bahawa Davis mungkin berdepan hukuman penjara tiga tahun sekiranya didakwa melanggar undang-undang itu.

Dia juga mungkin berdepan denda sehingga Sg$10,000. – AFP