Pemain tidak sabotaj saya – Mourinho

MANCHESTER, 5 Dis – Jose Mourinho menegaskan pasukan kendaliannya, Manchester United memberikan usaha maksimum mereka meskipun menerima kritikannya berulang kali ke atas permainan mereka.

Pengurus United berusia 55 tahun itu mendakwa mana-mana tuduhan bahawa pemain–pemainnya bermain hambar kerana mereka tidak menyukainya adalah ‘tidak jujur’.

Mourinho menjelaskan dalam penilaiannya terhadap permainan United dalam dua perlawanan liga mereka yang lalu, yang berkata para pemainnya kekurangan ‘jiwa’ selepas mereka terikat seri 0-0 di gelanggang sendiri menentang Crystal Palace pada 24 November lalu.

Dia kemudian menggambarkan tidak cukup ‘kegilaan’ pada pasukannya berikutan keputusan seri 2-2 di Southampton.

Tidak seorang pun pemain United bercakap kepada media selepas perlawanan di Stadium St Mary.

Reaksi Mourinho dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Benfica di Lisbon pada 18 Oktober 2017. – AP

Namun terdapat laporan suasana tidak harmoni dalam bilik persalinan, dengan Mourinho dilaporkan membandingkan pemain tengah Perancis, Paul Pogba dengan ‘virus’ dalam kemarahan di Southampton.

Mourinho enggan mengulas mengenai laporan terkini bagi perbalahan bersama Pogba, dan tidak juga menyatakan sama ada dia merasakan pemain tengah itu beraksi hambar di Southampton.

“Adakah anda bertanya atau berkata? Saya tidak akan menganalisis permainan individu,” katanya.

“Nama-nama yang saya berikan di Southampton adalah nama–nama yang saya pilih dalam kedudukan positif ke atas mereka yang menunjukkan keazaman, semangat berjuang, kemarahan, kebanggaan.”

Bagaimanapun, Mourinho tidak mahu menerima dakwaan bahawa pemain-pemainnya beraksi hambar dengan sengaja.

“Saya tidak bersetuju dengan anda atau menyatakan sebahagian pemain tidak mahu memberikan usaha terbaik mereka,” katanya.

Bercakap secara umum, dia menggambarkan pemain–pemain cukup profesional untuk terus memberikan yang terbaik walaupun jika mereka tidak sehaluan bersama pengurus. – AFP