Pemaju kelahiran Malaysia disenarai di Hall of Fame Queensland

KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Pemaju perumahan kelahiran Malaysia Maha Sinnathamby tersenarai dalam Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland di atas kepimpinan berwawasannya dalam mewujudkan bandar raya pertama yang dibina secara persendirian di Australia. Dikenali sebagai Greater Springfield dan kini selama 27 tahun dengan populasi melebihi 41,000 orang, bandar raya itu disifatkan oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull sebagai “projek pembinaan bangsa yang mempunyai kepentingan nasional.”

Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland diwujudkan sejak 11 tahun lepas bagi mengiktiraf sumbangan penting ahli perniagaan dan para pemimpin mereka terhadap reputasi, ekonomi dan pembangunan sosial negeri itu. Dalam kenyataan kepada Bernama, Springfield City Group berkata ia turut menyenaraikan Bob Sharpless, pengasas Greater Springfield bersama-sama Sinnathamby, yang mana kedua-duanya mewujudkan bandar seluas 3,000 hektar itu yang dibeli pada 1992 di kawasan yang mengalami kemelut ekonomi dan sosial di Tenggara Queensland. – Bernama

Maha Sinnathamby dan Bob Sharpless disenaraikan dalam Hall of Fame Queensland atas kepimpinan berwawasan mereka. – Bernama