Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pemakaian pelitup muka luar bangunan digalakkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Orang ramai digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di luar bangunan, terutama di tempat-tempat sesak dan dalam satu perkumpulan yang ramai namun pemakaian pelitup muka masih dimestikan sekiranya berada di dalam bangunan.

    Perkara tersebut merupakan beberapa pengemaskinian terhadap garis-garis panduan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang telah dilanjutkan sehingga 31 Mei dan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19 setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Pengemaskinian garis-garis panduan ini adalah mengambil kira keadaan jangkitan harian COVID yang rendah lagi stabil serta peningkatan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam,” kata Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Selain itu, Yang Berhormat Pehin turut mengumumkan, bagi pengendalian acara sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah-rumah persendirian had kapasiti maksimum yang dibenarkan adalah 30 orang di dalam rumah dan 200 orang bagi acara yang diadakan di kawasan luar rumah, ini tidak termasuk tuan rumah.

    Manakala had jumlah keramaian bagi acara yang diadakan di dewan-dewan adalah dikekalkan kepada maksimum seramai 300 orang.

    “Sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini, orang ramai diingatkan untuk membuat ujian pantas antigen (ART) sebelum meninggalkan rumah untuk berkunjung ke rumah-rumah ahli keluarga, memakai pelitup muka kecuali semasa makan atau minum, mengelakkan bersalam-salaman serta berkunjung secara berkumpulan di samping sentiasa berhati-hati dan hendaklah berada di rumah jika berasa kurang sihat,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Dalam keadaan jangkitan wabak COVID yang semakin terkawal, Yang Berhormat Pehin berharap pengembalian semula had perkumpulan ramai kepada tahap sebelum berlakunya gelombang ketiga dahulu akan membolehkan orang ramai meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa dan selamat.

    Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol-protokol kesihatan yang dikeluarkan.

    Ianya adalah hasil penelitian semula dan selaras dengan penilaian risiko semasa.
    Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.jpm.gov.bn.

    Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mewakili ahli-ahli Jawatankuasa Pandu COVID-19 mengucapkan selamat menjalankan ibadat puasa kepada seluruh umat Islam di tanah air.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...