Pemakaian tag pengesan digital bukan satu hukuman – Uggah

KUCHING, 30 MAC – Pengesan digital yang digunakan untuk memantau pergerakan individu yang baharu balik dari luar negara bukan satu hukuman, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, pemakaian tag pengesan di negeri itu adalah sebagai langkah, untuk mengekang penularan wabak COVID-19 serta memantau keberadaan seseorang, ketika dalam tempoh kuarantin yang telah ditetapkan selama 14 hari.

“Kebanyakan kes COVID-19 yang dikesan adalah kes import, jadi itulah yang kita hendak elakkan. Kita berharap mereka yang memakai tag pengesan digital ini memberikan kerjasama, memahami kenapa mereka perlu dikuarantinkan, pada masa yang sama melindungi keluarga serta saudara-mara terdekat,” katanya pada sidang
media di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, setakat ini individu yang memakai tag pengesan digital, mematuhi arahan ditetapkan dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Sehingga kini, Sarawak mencatatkan dua lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh kematian, sejak kes positif pertama penyakit itu dilaporkan pada 13 Mac di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis telah menangkap 67 individu pada hari ke-13 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, kerana melanggar perintah dengan 39 kes telah dituduh di mahkamah hari ini  dan selebihnya masih dalam siasatan. – Bernama