Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang wanita tempatan yang didapati bersalah dalam empat pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).
Wanita itu, Alina binti Mohd Ariffin bekerja sebagai ejen bebas semasa melakukan kesalahan itu.
Biro Mencegah Rasuah (BMR) dalam fakta kes mendedahkan bahawa tertuduh telah menawarkan khidmat mendapatkan kad pengenalan hijau kepada empat orang warga asing dari Indonesia dan Filipina yang memegang pas lawatan sosial, dengan bayaran antara $1,200 dan $1,800.
Setelah menerima bayaran, tertuduh telah menyerahkan empat borang permohonan kad pengenalan hijau kepada kerani pendaftaran di Seksyen Kad Pengenalan JIPK.
Borang-borang itu bagaimanapun mengandungi butiran palsu menyatakan bahawa pemohon masing-masing bekerja sebagai pemandu atau pembantu rumah. Tertuduh melakukannya dengan niat untuk mengelirukan JIPK dalam kesalahan yang dilakukan antara Januari 2008 dan Jun 2009. Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh ketika ini yang memerlukannya menjalani rawatan dialisis harian, ketika menjatuhkan hukuman.
Mahkamah bagaimanapun mengambil perhatian terhadap beratnya kesalahan yang dilakukan tertuduh yang memerlukan hukuman penjara. Awang Shamsuddin Kamaluddin merupakan wakil pendakwa raya dalam kes tersebut.
BMR turut memberikan peringatan kepada orang ramai bahawa menyerahkan dokumen yang mengandungi butir-butir palsu kepada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan dengan niat untuk mengelirukan jabatan atau agensi tersebut adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 6(c) Akta Pencegahan Rasuah yang boleh dihukum dengan hukuman penjara tujuh tahun dan denda $30,000.