Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Pemanah M’sia berisiko terlepas Program Podium

    KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Dua pemanah kebangsaan Malaysia, Khairul Anuar Mohamad dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli berisiko digugurkan daripada menyertai Program Podium tahun hadapan susulan prestasi kurang menyerlah pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, pada bulan Mei lepas.

    Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan, walau bagaimanapun berkata bahawa peluang kedua tetap diberikan kepada mereka berdua untuk diserap kembali ke dalam Program Podium, andai menampilkan prestasi terbaik selepas ini.

    Abdul Hamid juga berkata, kedua-dua Olimpian Malaysia itu perlu membuktikan prestasi mereka pada empat sirkit kebangsaan hingga akhir tahun ini dalam usaha untuk terus kekal dalam program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

    “Semua atlet ada peluang baharu iaitu kita beri ruang kepada mereka untuk bersama dalam pemilihan di sirkit kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN di sini kelmarin.

    Pada Sukan SEA di Hanoi, Khairul Anuar sekadar meraih perak dalam acara recurve bercampuran bersama Syaqiera Mashayikh selain merangkul dua gangsa bagi acara individu recurve serta acara recurve berpasukan lelaki bersama Muhamad Zarif.

    Abdul Hamid berkata, NAAM memberi minimum empat slot kepada MSN bagi dipertimbangkan menyertai Program Podium tahun hadapan, dengan senarai pemanah yang layak dijangka diketahui selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

    Dalam pada itu, beliau berkata, lapan buah negara termasuk Malaysia telah memohon kepada penganjur Sukan SEA 2023 di Kemboja, untuk menyenaraikan sukan tersebut pada temasya berkenaan. Sebelum ini, acara memanah tiada dalam senarai 39 sukan yang akan dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu. – Bernama

    Datuk Abdul Hamid Hasan bercakap pada sidang media selepas hadir mesyuarat jawatankuasa Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan MSN Bukit Jalil kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...