Oleh Keerul –
Keerul, Azam dan Dino menaiki bot ke tengah laut dalam untuk memancing sambil bermalam.
Malam itu, angin bertiup kencang dan langit yang tadinya cerah berubah menjadi gelap pekat.
Awan hitam kelihatan rendah, menandakan ribut bakal melanda. Kilat sabung-menyabung di kejauhan, diikuti dentuman guruh yang menggegarkan lautan.
“Kita kena cari tempat berteduh. Kalau ribut makin kuat, bahaya,” kata Azman sambil menggenggam stereng bot dengan kuat.
Azam menunjuk ke arah sebuah pelantar minyak tidak jauh dari situ.

“Kita berlindung di situ sementara ribut reda,” katanya.
Mereka segera mengemudi bot ke arah pelantar minyak itu. Setelah tiba di platform minyak tersebut, mereka pun melabuhkan sauh dan mengikat tali pada tiang platform minyak berkenaan dan enjin dihidupkan agar bot mereka dapat dikawal semasa perairan berombak.
Setelah beberapa ketika, hujan mulai reda. Mereka mengambil kesempatan untuk menyambung aktiviti memancing.
Namun, suasana di sekitar terasa ganjil. Udara terasa lebih dingin daripada biasa, dan bunyi angin menderu seakan membawa bisikan halus yang tidak difahami.
Dino, yang sedang asyik mengail, tiba-tiba terdiam. Matanya membulat, wajahnya berubah pucat.
“Kaaaaamuuu..korang nampak tak… tu?” bisiknya perlahan dengan tergagap-gagap.
Azam dan yang lain segera melihat ke arah yang ditunjuk.
Di bawah permukaan air laut, kelihatan sesuatu yang mustahil untuk dijelaskan – sepasang tangan panjang menjulur seperti berenang di dalam air lautan.
Panjangnya tidak berpenghujung, seakan-akan merayap di dasar lautan yang kelam.
Tangan yang besar, bergerak perlahan seperti mencari sesuatu.
Lebih menyeramkan, tidak jauh dari situ, wajah pucat dengan mata hitam pekat timbul di permukaan air merenung mereka tanpa berkedip.
Tiada seorang pun berani bersuara. Jantung mereka berdegup kencang dan tubuh terasa kaku.
“Jangan tegur…” bisik Keerul dengan suara bergetar walaupun terpaksa memberanikan diri.
Mereka cuba mengalihkan pandangan, berpura-pura tidak nampak, tetapi rasa seram itu semakin mencengkam.
Kemudian, tidak jauh dari hujung pelantar minyak, berdekatan dengan tiang besi besar, satu lagi kelibat muncul.
Lembaga itu bersandar di tiang, rambutnya terpacak-pacak seperti watak dalam Dragon Ball. Namun, apa yang paling menakutkan – ia tersenyum.
Senyuman itu bukan senyuman biasa. Ia penuh misteri, seolah-olah mengetahui sesuatu yang mereka tidak tahu.
Mereka terpaku, tidak tahu hendak berbuat apa. Beberapa minit berlalu, tetapi lembaga itu tidak bergerak.
Ia hanya duduk di situ, memerhati mereka dengan tenang.
Tiba-tiba, tanpa sebarang isyarat, lembaga itu menghilang. Tiada kesan, tiada bunyi.
Hanya suasana sunyi yang semakin menekan dada mereka.
Azam menggenggam lengan Dino. “Lajutahh kitani balik saja…”
Mereka tidak membantah. Tanpa membuang masa, mereka mengemaskan peralatan dan segera menghidupkan enjin sambil bergegas meninggalkan telaga minyak itu tanpa menoleh ke belakang.
Sehingga kini, mereka tidak pernah kembali ke lokasi itu. Namun, setiap kali mereka berbicara tentang pengalaman tersebut, satu persoalan masih menghantui mereka – siapakah makhluk itu dan apa sebenarnya yang ia mahu?