Pemandu bas HK didakwa

HONG KONG, 20 DIS – Pemandu bas yang menyebabkan enam orang terbunuh dalam nahas jalan raya pada Rabu di Lebuh raya Fanling di Hong Kong didakwa dengan enam pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, lapor agensi berita Xinhua.

Pemandu berkenaan tidak dibenarkan diikat jamin dan kes ditangguhkan sehingga ke Mac untuk mengumpul lebih banyak bukti termasuk hasil pemeriksaan bas dan laporan autopsi.

Dalam nahas kira-kira 4.20 petang waktu tempatan pada Rabu itu bas yang dipandu suspek berusia 56 tahun yang dalam perjalanan menuju ke Sheung Shui merempuh pengadang jalan raya dan pokok,  mengorbankan enam orang dan mencederakan 39 yang lain.

Sebelas mangsa masih dirawat di hospital. – Bernama